Dukung inisiatif KSSUP, jana produktiviti padi



Berita dan Foto : Rohani Haji Abdul Hamid




 

RIMBA, Sabtu, 30 Disember. - Seramai 25 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei : Kampus Agroteknologi serta peladang-peladang padi tempatan yang berjaya menamatkan kursus Teknologi Peningkatan Pengeluaran Menggunakan Padi Hibrid menerima sijil tamat kursus.

 

Majlis berlangsung di Dewan Simpur, Pusat Urusniaga Hortikultur Rimba, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta ialah Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Hajah Aidah binti Haji Mohd. Hanifah.

 

Turut hadir, Ketua Pejabat Komersil dan Ekonomi daripada Kedutaan Besar China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Ning Bo, Charge d'Affaires ad Interim, Tuan Zhu Rong dan pegawai-pegawai kanan serta pegawai juga kakitangan jabatan berkenaan.

 

Kursus tersebut dianjurkan bersama oleh jabatan berkenaan dan Yuan Longping High-Tech Agriculture Company Limited dengan bantuan Kementerian Perdagangan, Republik Rakyat China, yang mana ia mula dijalankan pada 15 November hingga 28 Disember 2017 di negara ini dengan dikendali oleh lima tenaga pengajar dari syarikat berkenaan.

 

Dalam pada itu, kursus tersebut merupakan kerjasama berterusan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China dalam bidang penanaman padi bagi mendukung inisiatif Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk meningkatkan produktiviti padi di negara ini menjadi 12 metrik tan sehektar pada tahun 2020 di ladang-ladang berpengairan untuk memastikan kedayatahanan pengeluaran padi tempatan.

 

Melalui kerjasama yang dijalankan itu, diharapkan negara ini akan dapat mengenalpasti varieti-varieti padi berhasil tinggi, yang mana adalah sesuai dengan agro-iklim di negara ini, di samping membangunkan kapasiti peladang-peladang tempatan dalam teknologi padi hibrid.



Close