Majlis Penutup Dikir Masjid Mohamed Bolkiah



Oleh : Marlinawaty Hussin \ Foto : Ampuan Mahmud Ampuan Haji Tengah

 

 



SERUSOP, Ahad, 3 Disember. - Jawatankuasa Takmir Masjid Mohamed Bolkiah Kampung Serusop mengadakan Majlis Penutup Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1439 Hijrah / 2017 Masihi di masjid berkenaan, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendekar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Awang Haji Sabtu.

 

Antara pengisian majlis ialah bacaan Dikir Khairuman, Bisyahrin, Al-Ham, Ashraqal Jawi dan Doa Allah Peliharakan Sultan serta Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Mohamed Bolkiah, Awang Haji Muslim bin Haji Abdul Razak.

 

Awang Haji Muslim ketika ditemui berkata, majlis dikir tersebut merupakan acara tahunan takmir masjid berkenaan sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi sama-sama berselawat dan memuji Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam agar mendapat syafaat, keberkatan dan keredaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

 

Dalam pada itu, pihak jawatankuasa masjid juga katanya, merakamkan ucapan terima kasih kepada para dermawan yang terdiri daripada jemaah masjid, penduduk kampung sekitar serta pihak-pihak jabatan kerajaan, kementerian dan swasta yang turut menderma makanan dan minuman kepada para peserta dikir sepanjang majlis itu diadakan.

 

Turut hadir, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, para jemaah masjid dan penduduk sekitar masjid berkenaan.



Close