SM RIPAS pelajari kaedah betul pemadaman api



Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Tutong





TUTONG, Khamis, 16 November. - Sebagai usaha dalam menyampaikan kaedah memadam api yang betul, Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Tutong (SM RIPAS) telah mengadakan Taklimat Keselamatan dan Mencegah Kebakaran di dewan sekolah berkenaan.  


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al- Fatihah dan Doa Selamat oleh  Awang Julaihi bin Masri.


Acara kemudian diteruskan dengan ucapan serta kata-kata aluan daripada Guru Kanan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) SM RIPAS, Awang Mohd Azrin bin Haji Jafarudin yang juga berperanan sebagai Ketua 'Fire Marshall' sekolah.


Taklimat dimulakan dengan sesi perkongsian informasi umum mengenai peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Awam Cawangan Operasi 'E' Balai Bomba Daerah Tutong, Dayang Nur Halimatul Halimah binti Abdullah Chin.


Antara tugas pasukan bomba dan penyelamat yang dihuraikan adalah seperti menyelamat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan atau kematian, masalah seperti pokok tumbang, percubaan membunuh diri dan menangkap binatang liar di dalam kawasan rumah atau premis.


Diikuti dengan sesi demonstrasi dan cara memadam api dengan menggunakan alat-alat pemadam api mudah alih yang disertai Pengetua SM RIPAS, Dayang Hajah Amal Nuriyah binti Haji Ahmad Kumpoh  diikuti oleh timbalan-timbalan, guru-guru, kakitangan dan para pelajar.


JBP turut mengadakan latihan kebakaran atau 'Fire Drill' yang buat pertama kalinya diadakan di SM RIPAS.


Turut hadir, Stesen Komander Balai Bomba Tutong, Yong Fook Ching; Pegawai Pencegah Kebakaran, Awang Bahrin bin Haji Mohd Noor  dan beberapa anggota dari JBP Daerah Tutong.



Close