Majlis Khatam Al-Quran raikan 174 pelajar



Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakkilah Hayatul Bolkiah

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 5 November. - Bagi memupuk semangat bagi masyarakat serta pelajar-pelajar di negara ini agar sentiasa mencintai,  menghayati Al-Quran dan ajaran agama Islam, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop, Kawasan Brunei II 'A' telah mengadakan Majlis Program Satu Minggu Satu Juzu' bagi pelajar sekolah berkenaan yang mengkhatamkan bacaan Al-Quran bagi tahun 1439 Hijrah / 2017 Masihi.

 

Seramai 174 pelajar, terdiri dari 92 lelaki dan 82 perempuan diraikan di majlis khatam berkenaan yang berlangsung di Dewan Serbaguna sekolah itu.

 

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh tetamu kehormat majlis, Ketua Sekolah-Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Negara Brunei Darussalam, Ustazah Sinega binti Haji Swadi, diikuti dengan bacaan Surah ayat-ayat lazim bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad dari para peserta khatam.

 

Juga hadir Pegawai-Pegawai Jabatan Pengajian Islam, jemputan-jemputan khas, Guru-Guru Besar, guru-guru serta ibu bapa dan penjaga pelajar.

 

Selain melatih masyarakat dan murid-murid agar lebih berusaha bagi mendapatkan keredaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan dipermudahkan dalam melakukan segala pekerjaan, majlis juga bertujuan untuk menanamkan sifat bekerjasama di antara warga sekolah, ibu bapa, penjaga murid dan masyarakat umumnya, di samping memberikan galakan kepada murid-murid agar lebih berusaha bagi mendapat kejayaan yang lebih cemerlang di masa akan datang.


Close