Sembahyang Sunat Hajat bagi pelajar bakal menduduki PSR



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Oktober. - Sebagai persiapan menjelang Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR),  empat buah sekolah dari Kluster 3, iaitu Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 (SRLK Jln 49), Sekolah Rendah Dato Marsal (SRDM), Sekolah Rendah Dato Basir (SRDB) dan Sekolah Rendah Kampung Perpindahan Lambak Kanan Jalan 10 (SRPLK Jln 10) mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat bagi murid-murid Tahun 6 yang akan menduduki Peperiksaan PSR pada tahun ini dan diselajurkan dengan Sembahyang Sunat Hajat bagi memohon keselamatan umat Islam Rohingya. 

Majlis berlangsung di Masjid Perpindahan Lambak Kanan Jalan 10, Jalan Pasir Berakas.
 
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Kawasan 1, Awang Mohammad bin Tahir.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah yang dipimpin oleh Imam Masjid Perpindahan Lambak Kanan Jalan 10, Awang Haji Md. Khairol Ariffin bin Haji Yusof yang juga selaku wakil dari SRLK Jln 49 dan diikuti bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai.

Acara diteruskan lagi dengan bacaan doa-doa untuk persediaan PSR dan umat Islam Rohingya yang dibacakan oleh tiga orang wakil iaitu Imam Masjid Perpindahan Lambak Kanan Jalan 10, Awang Haji Md. Khairol Ariffin; wakil bagi ibu bapa dari SRDB, Awang Haji Md. Khairulazamy bin Haji Bakar dan wakil bagi pelajar dari SRDM, Awang Ahmad Mubarak bin Hamri. 

Seramai 237 pelajar Tahun 6 akan menduduki Peperiksaan PSR pada tahun ini iaitu dari SRLK Jln 49 seramai 63 pelajar, sementara SRPLK Jln 10 pula seramai 63 pelajar. Dari SRDM pula, seramai 62 pelajar dan SRDB seramai 29 pelajar.

Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah tersebut merupakan sebahagian dari Program Meraih Berkah Kluster 3 bertujuan untuk mendidik pelajar agar sentiasa memohon pertolongan dan keredaan Allah dalam setiap usaha bagi memperoleh keberkatan.

Close