ASEAN sepakat pupuk perpaduan dan integrasi serantau melalui sukan



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan



NAY PYI TAW, MYANMAR, Rabu, 11 Oktober. - Negara Brunei Darussalam menyepakati aspirasi ASEAN bahawa sukan merupakan satu bidang yang dapat memberi pelbagai sumbangan terutama kepada peningkatan tahap kesihatan, perpaduan dan integrasi serantau di samping memupuk semangat patriotik, pembentukan masyarakat berdisplin dan berdaya saing.

Kenyataan tersebut disuarakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdu’r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir bagi mewakili Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof  dan juga  mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam pada Mesyuarat ASEAN Ministerial Meeting on Sports Ke-4.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan dan Sukan Kesatuan Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama Dr. Myint Htwe memperakukan ASEAN Work Plan on Sports 2016 - 2020 bagi kemajuan pesat sukan untuk semua dan sukan untuk prestasi tinggi di segenap lapisan masyarakat ASEAN sebagai landasan kepada pengukuhan integrasi ASEAN yang antara lain termuat dalam Kenyataan Bersama (Joint Statement) Menteri-Menteri.

Dalam membacakan ucapan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Tuan Yang Terutama menjelaskan,  Pelan Tindakan Sukan 2016 - 2020 itu perlu menjalani semakan berkala agar ia dinamik, bersesuaian dengan kaedah, pemikiran dan teknologi terkini selaras dengan perkembangan dan keperluan sukan di rantau ini mahupun di persada antarabangsa.

TYT juga menyampaikan bahawa bagi mengukuhkan lagi pencapaian rangka kerja berkenaan, penglibatan masyarakat secara menyeluruh adalah landasan utama membudayakan sukan. Usaha untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat perlu dimulakan pada peringkat usia muda. Pendekatan melalui aktiviti sukan dan pendidikan jasmani di sekolah perlu dipertingkatkan untuk mengenal pasti bakat-bakat muda yang berpotensi.

Sementara itu, dalam 1st ASEAN Plus Japan Ministerial Meeting, Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan keterlibatan negara Jepun dalam bekerjasama dengan ASEAN seiringan Work Plan on Sports 2016 - 2020. 

TYT menyatakan, sukan untuk semua dan sukan untuk prestasi tinggi hendaklah dibangunkan serentak dengan penekanan yang berbeza. Sukan untuk semua yang berteraskan budaya penyertaan bertujuan untuk membolehkan rakyat melibatkan diri dengan aktiviti fizikal sebagai amalan gaya hidup yang aktif. Sukan prestasi tinggi yang berteraskan kepada budaya pencapaian pula berperanan unuk mencapai kecemerlangan pada pertandingan sukan.

Sukan di Negara Brunei Darussalam diberi pengiktirafan, penghormatan dan penggalakkan yang sama penting dengan sektor yang lain bagi mencapai matlamat pembangunan negara, perpaduan dan kestabilan yang berterusan.

Mengiring TYT ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,  Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

Close