Kerajaan Kebawah DYMM tandatangani konvensyen kerjasama antarabangsa



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan



BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 13 September. - Brunei Darussalam menandatangani Multilateral Convention on Mutual Administration Assistance in Tax Matters pada 12 September lepas di Ibu Pejabat Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (DECD), Perancis.

Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Perancis, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah Malai Haji Yussof, di hadapan Timbalan Setiausaha Agung DECD, Mr. Masamichi Kono.

Sebanyak 112 buah negara menyertai konvensyen ini termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura.

Tujuan konvensyen ini adalah untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam membanteras pengelakan cukai rentas sempadan, di mana konvensyen ini merangkumi segala bentuk bantuan pentadbiran dalam perkara cukai seperti pertukaran maklumat mengenai permintaan, pertukaran spontan, pertukaran automatik, pemeriksaan cukai di luar negeri dan bantuan dalam kutipan cukai.

Penandatanganan konvensyen ini menunjukkan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk membanteras pengelakan serta pelarian cukai di luar negeri dan untuk melaksanakan pertukaran maklumat akaun kewangan secara automatik yang dipersetujui di peringkat antarabangsa serta ditetapkan oleh DECD.

Close