PIP 'A' juara Kejohanan Bola Sepak B-12



 
Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 September. - Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) buat julung kalinya telah menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun yang dibukakan kepada pemain-pemain dari kelab-kelab, akademi dan juga sekolah-sekolah di negara ini sebagai salah satu aktiviti bagi mengisi musim cuti persekolahan.

Sebanyak 16 pasukan telah menyertai Kejohanan 7 Orang Sepasukan tersebut yang berlangsung di Padang Artifisial NFABD.

Berangkat menyertai barisan pasukan International School Brunei (ISB) ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb bin Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.

Pasukan Projek Ikan Pusu (PIP) ‘A’ muncul juara keseluruhan setelah mengalahkan kesemua pasukan dalam pusingan pertama dan kedua tanpa dibolosi gawang, diikuti oleh pasukan ISB ‘A’ tempat kedua, dan COE BM serta Rimba Star ‘B’ masing-masing  tempat ketiga dan keempat.
 
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Teknikal NFABD, Yvon Avry.

Hadiah Pemain Terbaik disandang oleh Awangku Md Syafiq Hilmi bin Pengiran Md Shahrom dari Dash Football Academy, manakala gelaran Penjaga Gol Terbaik diberikan kepada Md. Danish Ataullah bin Md. Ridwan dari PIP ‘A’.

Close