Pelajar SU PAP Hafizah diraikan di Majlis Khatam



Oleh : Aimi Sani / Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Julai. - Majlis Khatam Al-Quran Murid-Murid Darjah VI Sekolah Ugama merupakan sebahagian daripada projek tahunan Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sejak tahun 1985 sehingga kini.

Sehubungan dengan itu, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri (SU PAP) Hafizah Sururul Bolkiah, sesi pagi menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran bagi seramai 84 murid-murid Darjah VI 1438 Hijrah bertempat di Dewan Serbaguna sekolah tersebut. Dari jumlah tersebut 38 peserta khatam terdiri dari murid lelaki dan selebihnya 46 peserta adalah murid perempuan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Juruaudit Agung, Jabatan Audit, Dato Paduka Haji Yahya bin Haji Idris.

Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh tetamu kehormat diikuti dengan bacaan surah ayat-ayat lazim bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad oleh peserta-peserta khatam.

Acara diteruskan dengan bacaan takhtim oleh murid-murid perempuan Darjah IV dan V.

Sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh salah seorang peserta khatam, Awangku Md. Rafiuddin bin Pengiran Saharuddin diikuti dengan persembahan dikir oleh murid-murid lelaki Darjah IV dan V.

Di majlis tersebut, tetamu kehormat juga menyampaikan sijil khatam dan seterusnya merenjis minyak wangi kepada para peserta khatam diikuti oleh ibu bapa serta penjaga peserta khatam.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Cikgu Haji Mosliadi bin Haji Khamis.

Dayangku Hajah Siti Norliha binti Pengiran Haji Omarali dan anaknya, Dayang Masyitah Salihah binti Haji Awang Hassan ketika ditemui berkata Majlis Khatam Al-Quran menurut mereka, merupakan salah satu tanda penghargaan kepada murid-murid Darjah VI yang bakal menamatkan sesi persekolahan ugama dan harus diteruskan sampai bila-bila.

Close