Oleh : Noraisah Haji Muhammed
KUALA BELAIT, Jumaat, 28 Julai. - Lebih 150 pegawai dan kakitangan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dengan kerjasama warga sekolah rendah serta penduduk Kampung Sungai Teraban telah mengungkayahkan kempen 'Gotong Royong' kebersihan.
Kempen yang diketuai oleh Penolong Pengurus Darat, BSP, Awang Shamir Salahudin itu bertujuan bagi menggalakkan pelajar dan penduduk serta masyarakat setempat untuk bekerjasama sebagai satu pasukan juga menanamkan sikap tanggungjawab dalam sama-sama memastikan persekitaran yang sihat dan bersih.
Aktiviti pembersihan dijalankan di Sekolah Rendah Kampung Sungai Teraban dan di sekitar pantai dengan memotong rumput di kawasan sekolah berkenaan dan membersihkan longkang tersumbat juga mengutip sampah di pantai.
Kegiatan tersebut menunjukkan komitmen kakitangan BSP sebagai masyarakat yang berperanan melindungi alam sekitar dan pada masa yang sama mendidik belia tentang pentingnya kemerdekaan, membantu memupuk semangat sukarela dan gotong royong dalam kalangan kakitangan, belia dan ahli komuniti setempat.
Kehadiran yang memberangsangkan dalam kalangan generasi muda menunjukkan peningkatan dalam menghayati akan kesedaran mengenai alam sekitar di negara ini.
BSP amat menyokong usaha Brunei Darussalam untuk menggalakkan kemampanan alam sekitar.
Menerusi temu bual bersama Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd. Morsidi bin Haji Mohd. Shura melahirkan rasa sukacita dan bangga dengan usaha yang diungkayahkan oleh pihak BSP dalam sama-sama menangani masalah kebersihan dan mengambil berat terhadap kebersihan juga alam sekitar.