Para peserta Khatam lahirkan rasa kesyukuran



Berita dan Foto  : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Julai. -  Majlis Khatam Al-Quran 71 Kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) dan Penuntut-Penuntut Sekolah Seluruh Negara adalah bagi menzahirkan kesyukuran rakyat dan penduduk negara ini kepada Allah atas limpah rahmat serta nikmat-Nya menjadikan Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

Seramai 1,708 peserta menyertai acara keagamaan yang diadakan bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-71 Tahun.

Sehubungan itu, pada acara yang berlangsung di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman, Pelita Brunei berkesempatan menemu bual beberapa peserta Khatam Al-Quran 71 Kali.

Awang Mohd. Najmul Alam Shah bin Abdullah Rokiman dari Sekolah Seri Mulia Sarjana ketika ditemui melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana berpeluang menyertai majlis sambutan tahun ini.

Mengenai persediaan untuk kelancaran semasa menyertai majlis tersebut, beliau menjelaskan latihan juga pernah diadakan bersama peserta-peserta yang lain di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Bandar Seri Begawan.

Seorang lagi rakan sebaya beliau di sekolah yang sama, iaitu Awang Abdul Matin Hisyam bin Awang Norizal berasa gembira kerana terpilih untuk menyertai sambutan tersebut buat pertama kalinya.

Pada kesempatan itu, beliau juga ingin menyembahkan ucapan Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-71 ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan semoga baginda dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah negara.

Sementara itu, Imam dari Kampung Kasat, Awang Azrin bin Haji Rungging yang mewakili Mukim Lumapas melahirkan rasa gembira kerana berkesempatan untuk mengikuti majlis sambutan tersebut.

"Sebagai salah seorang peserta yang terpilih buat pertama kalinya, saya berasa sangat bersyukur dan ia sememangnya menjadi kenangan manis kerana berpeluang untuk menyertai majlis sambutan ulang tahun bagi raja yang dikasihi," ujarnya.

Close