Teruja kerana dapat sertai persembahan



Oleh : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Masri Osman, Pg. Amirulnizam Pg. Md. Ali, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 

 

TUTONG, Selasa, 18 Julai. - Bahang kegembiraan jelas dapat dirasakan dari segenap lapisan rakyat dan penduduk yang bermastautin di daerah ini untuk bersua muka, bersalaman dan berinteraksi dengan raja yang dikasihi.

 

Sejak awal pagi lagi, lebih kurang 8,000 rakyat di Daerah Tutong membanjiri Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong bagi memeriahkan Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-71 Tahun.

 

Suasana di sepanjang khemah-khemah kecil yang disediakan bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah tersebut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat bagi menjunjung keberangkatan baginda serta kerabat diraja yang lain untuk beramah mesra.

 

Semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei, salah seorang peserta persembahan padang, Awang Abdul Rahman bin Abdullah dari Kampung Supun menjelaskan, beliau berasa teruja kerana sekali lagi berpeluang mengambil bahagian tahun ini.

 

"Suasana pada majlis tahun ini sungguh meriah kerana persembahan kami ini adalah persembahan gabungan daripada masyarakat Iban, puak Dusun dan masyarakat Cina," jelas beliau lagi.

 

Kemeriahan pada majlis tersebut turut dipersetujui oleh Pemangku Ketua Kampung Danau, Awang Haji Abdullah bin Haji Mohd. Tahir.

 

"Kemeriahan tahun ini jelas terlihat kerana setiap kerusi yang disediakan nampaknya penuh dengan penduduk-penduduk yang datang lebih awal, ini menandakan bahawa penduduk kampung di seluruh daerah ini berasa teruja dengan kedatangan Kebawah DYMM," terang beliau.

 

Bagi peserta Kadet Bomba dari Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Awang Abdul Faiz bin Abdul Kahar berasa gembira kerana buat pertama kalinya berpeluang untuk sama-sama meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

 

Pada kesempatan itu, beliau juga ingin menyembahkan ucapan Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan yang Ke-71 Tahun ke hadapan majlis Kebawah DYMM dan semoga baginda dilanjutkan usia serta kekal karar memerintah negara.

 

Sementara itu, pelajar dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Dayang Saidatul Nazeerah binti Julidin melahirkan rasa teruja kerana dapat bersua muka dan berinteraksi dengan Kebawah DYMM dengan mengambil bahagian di pameran lukisan.

 

"Saya berasa sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama mengambil bahagian dan berharap untuk menyertai pada tahun-tahun yang akan datang bagi menzahirkan rasa kasih ke hadapan Majlis Kebawah DYMM," ujarnya.

 

Manakala pelajar yang berusia lima tahun dari Sekolah Bakti Dewa, Dayang Mirza Duriah binti Tajuddin @ Damia juga ingin turut menyembahkan ucapan Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan yang Ke-71 Tahun ke hadapan majlis Kebawah DYMM.

Close