Brunei dilantik selaku Presiden ASSC



Berita dan Foto : Kementerian Pendidikan

 

 

REPUBLIK SINGAPURA. - Viet Nam selaku Presiden ASEAN Schools Sports Council (ASSC) bagi tempoh 2016 - 2017 telah menyerahkan jawatan Presiden kepada Brunei Darussalam bagi tempoh dua tahun bermula pada tahun 2018 hingga 2019 di satu majlis yang telah diadakan di Marriot Tang Plaza, Singapura pada hari Jumaat, 14 Julai 2017.

 

Hadir selaku wakil Yang Berhormat Menteri Pendidikan ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh, yang seterusnya memberikan ucapan.

 

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee dan Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Haji Azis bin Haji Nayan yang turut berada di Singapura sebagai Chef De Mission bagi Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MSSBD) ke Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN Ke-9, Singapura 2017.

 

Penyerahan jawatan Presiden ASSC disempurnakan dengan penyerahan bendera ASSC oleh Timbalan Menteri Pendidikan dan Latihan Viet Nam, Puan Yang Terutama Nguyen Thi Nghia kepada Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh.

 

Sebelum Majlis Penyerahan Bendera Rasmi ASSC kepada Brunei Darussalam sebagai tanda Brunei Darussalam dilantik selaku Presiden ASSC, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal ASSC Kali Ke-71 (71st ASSC Technical Meeting) telah diadakan dan diteruskan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kali Ke-54 (54th ASSC Management Meeting).

 

ASSC ditubuhkan pada tahun 1978 dan pada awalnya dianggotai oleh Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand. Pada tahun ini, ahli ASSC telah menerima Myanmar sebagai ahli yang baharu dan menjadikan sepuluh negara ASEAN menjadi ahli ASSC. Salah satu penganjuran terbesar yang dikendalikan oleh ASSC ialah penganjuran Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN yang pertama kali telah diadakan di Thailand pada tahun 2009.

 

Di antara matlamat penubuhan ASSC ialah untuk membantu memupuk kerjasama yang lebih erat dalam kalangan penuntut-penuntut sekolah di kalangan negara ASEAN; memacu kemajuan sosial melalui jalinan kerjasama dalam bidang sukan; menggalakkan kerjasama dan komunikasi yang lebih aktif dalam bidang sukan; menyumbang ke arah keamanan dan kestabilan rantau ASEAN; melahirkan atlet elit masa hadapan di rantau ASEAN; dan mendokong dasar negara anggota ASEAN bagi mendorong ke arah warga yang sihat melalui aktiviti sukan.

 

Close