Umat Islam di Temburong tunaikan Sembahyang Sunat Aidilfitri



Berita dan Foto : Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain


TEMBURONG, Isnin, 26 Jun. - Umat Islam di Daerah Temburong memulakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada pagi ini dengan laungan takbir serta menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri Berjemaah di semua masjid, surau dan balai ibadat di daerah ini dan antara masjid yang menjadi tumpuan ialah di Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar, di sini.

Sejurus selepas laungan takbir, pelbagai peringkat lapisan masyarakat termasuk kaum wanita dan kanak-kanak bersama-sama menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri Berjemaah di masjid ini yang diimamkan oleh Awang Haji Mohammad Yussof bin Haji Ahad, Imam masjid berkenaan.

Sementara itu, Awang Haji Mohammad Yussof juga menyampaikan Khutbah Aidilfitri, yang antara lain menyentuh mengenai amalan-amalan baik yang dilaksanakan sepanjang berada di bulan Syawal termasuk berpuasa sunat enam hari, selain mengingatkan mengenai kewajipan menunaikan solat, amalan bermaaf-maafan serta adab-adab sopan semasa berkunjung dan berziarah ke rumah saudara mara dan sahabat handai semasa Hari Raya Aidilfitri.

Close