Manfaatkan pembacaan Al-Quran di bulan Ramadan



Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Sekolah Bakti Dewa


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Jun. - Sesuai dengan bulan yang penuh keberkatan, pembacaan Al-Quran sangat digalakkan kepada kita selaku umat Islam terutama di bulan ini.

Sekolah Bakti Dewa cawangan Berakas dan Jerudong juga tidak ketinggalan memanfaatkannya dengan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di cawangan masing-masing.

Seramai 15 orang guru dan kakitangan Sekolah Bakti Dewa Berakas berserta 76 orang murid ikut serta dalam majlis ini.

Hadir di majlis itu, Pengasas Sekolah Bakti Dewa, Pengiran Hajah Mariam binti Pengiran Haji Ahmad @ Pengiran Haji Dewa Ahmad.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Mohamad Idi bin Abu Bakar, diikuti surah-surah lazim yang juga mengepalai Doa Khatam.

Acara juga diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim sumbangan daripada warga sekolah itu dan Restoran Mc Donald's Brunei (Makan Ceria Sdn. Bhd.).

Selain mengimarahkan lagi bulan mulia ini, ia juga bagi menyahut seruan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Melalui majlis ini juga murid-murid di sekolah ini terbiasa serta dapat mengikuti lafaz suci ayat-ayat Al-Quran, di samping sebagai usaha pendidikan swasta untuk sama-sama gigih dalam memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan mendukung falsafah negara, Melayu Islam Beraja.

Close