Pengecualian cukai bangunan boleh dipertimbangkan



Laporan : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 11 Mac. - Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menjelaskan hasrat ahli-ahli lembaga pengarah, ibu bapa dan pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan (BSB) mengenai permohonan bagi pengecualian cukai pintu tahunan.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ong Tiong Oh pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-13 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis, di sini, menurut Yang berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berkata, Akta Lembaga Bandaran Penggal 57, ada peruntukan bahawa pengecualian cukai bangunan boleh dipertimbangkan jika ia memenuhi peruntukan Bab 13 dan Bab 14.

Sementara itu, bagi Bab 13 itu ada menyatakan pengecualian itu boleh dibuat dalam 'translation' bahasa Melayunya semata-mata bagi sekolah awam (public school) atau bagi maksud-maksud dermawan dalam bahasa Inggerisnya 'Purchasable Purposes'.

Oleh yang demikian, jelas Yang Berhormat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan meneliti kedudukan permohonan pihak lembaga dan Sekolah Menengah Chung Hwa BSB dalam konteks Bab 13 tersebut berasaskan penerangan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat Ong Tiong Oh.

Menurut Yang Berhormat Ong Tiong Oh lagi, Sekolah Menengah Chung Hwa adalah institusi pendidikan yang tidak mengutamakan keuntungan ataupun 'non-profit making organization' dan juga sekolah tersebut mengambil inisiatif dan berbagai-bagai usaha untuk mencari sumber kewangan lain seperti sumbangan lain dan derma orang ramai bagi menampung perbelanjaan operasi sekolah.

Close