Pendedahan penjagaan kesihatan mulut kepada penuntut



Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Bakti Dewa Berakas


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 16 Mei. - Seramai 75 orang murid Sekolah Bakti Dewa Berakas telah menghadiri ceramah mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mulut dan tunjuk ajar cara yang betul untuk memberus gigi.

Ceramah disampaikan oleh Pegawai Jururawat, Syahnurul Fadzillah Pehin Dato Haji Abdu'rrahmani.

Objektif ceramah ini adalah untuk memberi kesedaran kepada anak-anak sekolah mengenai kepentingan dan penjagaan kesihatan mulut dan gigi.

Ketua rombongan Pusat Pergigian Negara, Dr Haji Majidi bin Haji Bakar, menasihatkan para pelajar supaya memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan menggunakan ubat gigi yang berfluorida selain melakukan perjumpaan dengan Doktor Gigi / Jururawat Pergigian sekurang-kurangnya dua kali setahun atau seperti yang disarankan.

''Kanak-kanak yang berumur di bawah 9 tahun perlu diawasi oleh ibu bapa/ penjaga ketika mereka memberus gigi. Ibu bapa juga perlu menghadkan atau mengurangkan pengambilan makanan manis serta menghentikan penyusuan botol,'' tambah Dr Haji Majidi bin Haji Bakar.

Sementara itu, salah seorang guru Sekolah Bakti Dewa, Mohamad Idi bin Abu Bakar berkata, pihak Sekolah Bakti Dewa Berakas mengambil inisiatif dengan menjemput pihak Pusat Pergigian Negara untuk memberikan ceramah dan taklimat di ketiga-tiga cawangan Sekolah Bakti Dewa iaitu Tutong yang telah berlangsung pada Sabtu lepas 13 Mei 2017 termasuk hari ini dan Jerudong pada 23 Mei 2017.
Close