Bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Orang Islam Kuala Balai



Berita dan Foto : Ihsan Haji Zainidi Haji Nuruddin


KUALA BELAIT, Isnin, 15 Mei. - Lebih 60 orang bekas penduduk Kampung Kuala Balai telah melaksanakan kerja bergotong-royong membersihkan kawasan Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam di kampung tersebut, baru-baru ini, di sini.

Kempen gotong-royong tersebut merupakan aktiviti tahunan bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan Al-Mubarak, sekali gus dihasratkan dapat memupuk semangat perpaduan serta menggalakkan kerja-kerja amal di samping mengeratkan lagi silaturahim.

Semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei, Dayang Hajah Fatimah binti Ramlee, salah seorang anak jati Belait melahirkan rasa sangat gembira kerana berpeluang bersama-sama melakukan kerja amal tersebut dan mengharap satu hari nanti Kuala Balai atau nama sinonimnya, Long Plai dalam kalangan Etnik Belait itu akan dapat dibangun semula.

Andai impian itu tercapai, beliau berhasrat untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang berpotensi ke arah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara lebih lagi dari aspek pelancongan.

Beliau juga mengingatkan masyarakat umum agar jangan sesekali melupakan asal usul walaupun hidup dalam serba-serbi moden. Projek ini juga dihasratkan akan mendapat lebih ramai penyertaan dalam kalangan Puak Belait pada masa akan datang.

Turut menyertai gotong-royong tersebut, Yang Dimuliakan Pehin Datu Juragan Laila Diraja Kolonel (B) Dato Seri Pahlawan Haji Kefli yang juga merupakan salah seorang anak kelahiran Kampung Kuala Balai.
Close