5,102 murid mendaftar ikuti persekolahan agama



Oleh: Saerah Haji Abdul Ghani / Foto: Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah


YANG  Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat mendengarkan sesi taklimat Pendaftaran Murid-Murid Pra Bagi Tahun 1436 Hijrah/2015 Masihi. Juga berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khairul Khalil bin Pengiran Syed Haji Jaafari.


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Januari. - Seramai 5,102 murid baru Darjah Pra hari ini mendaftar bagi memasuki persekolahan agama di keempat-empat daerah bagi Sesi Pengajian 2015.

Daripada jumlah tersebut, seramai 3,698 murid mendaftar masuk ke sekolah-sekolah agama di Daerah Brunei dan Muara; 601 murid di Daerah Tutong; Daerah Belait mencatatkan seramai 692 murid dan seramai 111 murid lagi mendaftar di Daerah Temburong.

Sementara itu, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bolkiah Kilanas, hari ini menerima pendaftaran masuk seramai 54 murid baru.

Cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez bin Pengiran Anak Khairul Khalil adalah merupakan salah seorang murid baru bagi sekolah berkenaan.

Berangkat mendengarkan sesi taklimat Pendaftaran Murid-Murid Pra Bagi Tahun 1436 Hijrah/2015 Masihi ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Juga berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khairul Khalil bin Pengiran Syed Haji Jaafari.

Penolong Guru Besar sekolah berkenaan, Dayang Hamny binti Panjang berkata,  taklimat bertujuan untuk memberikan sedikit penerangan kepada ibu bapa dan penjaga murid mengenai  Akta Pendidikan Ugama Wajib, perkara-perkara yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa dan penjaga murid serta waktu dan aktiviti persekolahan bagi Darjah Pra.

080115 AMP 07 MAJEEDAH

080115 AMP 06 MAJEEDAH

SEBAHAGIAN daripada ibu bapa dan penjaga yang hadir di majlis tersebut. (Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)

Pada tahun ini jelasnya, sekolah tersebut telah  menerima seramai 54 murid Darjah Pra yang mana pada sesi petang sahaja murid-murid  telah dimasukkan ke dalam empat buah kelas iaitu Pra Alif, Pra Ba, Pra Ta dan Pra Tha.

Ibu bapa dan penjaga yang hadir juga diberikan penerangan mengenai peralatan dan keperluan murid  yang perlu dibawa untuk menjalani pembelajaran dan aktiviti dalam persekolahan agama ini khususnya.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh dari Kumpulan Al-Khalil sebelum murid-murid beredar memasuki kelas yang telah diaturkan.

Close