SETIAUSAHA Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhd. Lutfi bin Abdullah hadir selaku tetamu kehormat pada upacara berkenaan.
TETAMU kehormat dijemput bagi memeriksa perbarisan.
TETAMU kehormat menyempurnakan penyampaian hadiah kepada Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan, 51970 Rek. (L) Awang Ahmad Azri Sallehin bin Haji Mohd. Salleh.
PERBARISAN berjalan lalu dalam gerak perlahan dan cepat.
PERBARISAN berjalan lalu dalam gerak perlahan dan cepat.
Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin
TUTONG, Jumaat, 28 April. - Seramai 156 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) rekrut lelaki Pengambilan Ke-158 telah menamatkan Latihan Asas Ketenteraan selama 31 minggu di Padang Kawad Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menerima tabik hormat pada upacara berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhd. Lutfi bin Abdullah.
Turut hadir, Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd. Tawih bin Abdullah serta Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, Pemangku Pemerintah Angkatan Tentera, Komandan-Komandan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan anggota-anggota ABDB serta ahli keluarga rekrut yang menamatkan latihan.
Selepas tetamu kehormat memeriksa perbarisan dan menyampaikan ucapan, majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada jurulatih-jurulatih dan rekrut yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang latihan rekrut dijalankan.
Penerima-penerima tersebut ialah 17661 Kopral Awang Md. Zailani bin Sahlan sebagai penerima Jurulatih Lelaki Terbaik, manakala 51970 Rek. (Laut) Awang Ahmad Azri Sallehin bin Haji Mohd. Salleh pula memenangi Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan.
Manakala itu, Penembak Senjata Ringan Terbaik dimenangi oleh 51909 Rek. Awang Mohd. Nor Asrin bin Abdul Rahim; 51846 Rek. Mohd. Bakri bin Yossli bagi Latihan Jasmani Terbaik; 51923 Rek. (Udara) Awang Khairul Amirul bin Mohd Adnani bagi Kemahiran Tentera Terbaik; dan 15222 Sjn. Awang Hazman bin Haji Johari bagi Platun Sarjan Terbaik.
Kejayaan mereka selepas menjalani latihan asas ketenteraan adalah titik sejarah sebagai generasi wira pertahanan ABDB dan negara dalam sama-sama memikul tanggungjawab mempertahankan keamanan negara, menjunjung kedaulatan raja, memartabatkan maruah bangsa dan memelihara kesucian agama.