Peruntukan kewangan secukupnya perlu realisasikan kejayaan projek



LOGO MMN 2015

Oleh: Norliah Md. Zain


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 Mac. - Kita seharusnya memanfaatkan sebaiknya bahawa Negara Brunei Darussalam dikenali dengan produk halalnya dirantau ini merupakan senjata ‘marketing’ yang amat penting.

Oleh itu, pihak kerajaan adalah diharap untuk tidak akan teragak-agak memberikan peruntukan kewangan yang secukupnya bagi merealisasikan kejayaan projek ini kerana hasilnya adalah semata-mata untuk kesejahteraan rakyat dan negara ini.

“Kita boleh mengadakan kilang-kilang bagi memproses produk halal untuk kegunaan dalam negeri dan seterusnya boleh dieksport ke luar negeri, contohnya, kita boleh mengimport atau memasukkan buah-buahan dari negara jiran dan memproses pembungkusannya dan pemasarannya dengan menggunakan jenama Brunei Halal yang sedia ada.”

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Awang Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Awang Haji Zainal, Ahli Yang Dilantik Dalam Kalangan Orang-Orang Bergelar berkata demikian ketika membahaskan usul yang telah dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong di bawah Perkara VI, Usul-Usul Yang Diberi Notis.

YANG Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Awang Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Awang Haji Zainal.


Selain itu ujar Yang Berhormat, perusahaan 'Small Medium Enterprise' (SME) bermula dari industri kecil dan sederhana, seperti pengeluaran plastik, baja, ‘fibre-glass’, simen dan lain-lain yang dikira dapat menghasilkan berjenis-jenis barangan pengeluaran sendiri.

Dengan cadangan penubuhan Kementerian Pembangunan Keusahawanan oleh Yang Berhormat sebelumnya, secara langsung akan dapat membantu bumiputera yang mempunyai kredibiliti untuk memulakan sebarang perusahaan yang dirancang dan secara automatik akan dapat menyediakan beberapa kekosongan pekerjaan dan jawatan untuk diisi oleh para belia lepasan sekolah atau universiti yang belum mempunyai sebarang pekerjaan.

Dalam masa yang sama sekurang-kurangnya akan dapat membantu menyelesaikan masalah pengangguran di negara ini.

Close