Sumber manusia berilmu, berkualiti pencapaian utama



Oleh: Norliah Md. Zain / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas


YANG Berhormat Haji Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman ketika membahaskan usul yang telah dicadangkan oleh Menteri Pendidikan di bawah Perkara VI, Usul-Usul Yang Diberi Notis.


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 Mac. - Peluang pekerjaan untuk anak tempatan hendaklah ditangani dan dilaksanakan dengan segera kerana untuk mencapai matlamat Wawasan 2035, sumber manusia dalam kalangan anak-anak tempatan yang berilmu dan berkualiti adalah pencapaian utama demi kelestarian pembangunan bangsa, agama dan negara.

Begitu juga dalam bidang industri dan swasta dalam kalangan anak-anak tempatan sudah ramai yang berkelayakan, berpengalaman dan berkemahiran.

Yang Berhormat Haji Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman, Ahli Yang Dilantik Dalam Kalangan Orang-Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan berkata demikian ketika membahaskan usul yang telah dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong di bawah Perkara VI, Usul-Usul Yang Diberi Notis.

“Sudah tiba masanya mereka ini diberi peluang dan kesempatan untuk membuktikan kebolehan dan kepakaran mereka dalam bidang masing-masing dan sudah setentunya penilaian dan pengetahuan dibuat untuk kita sama-sama mendapat hasil yang diharapkan,” tambahnya.

Menurut Yang Berhormat, dasar dan akta pekerja asing yang digubal oleh kerajaan adalah satu langkah awal untuk melihat perkembangan ini, begitu juga dasar mendapatkan lesen perniagaan yang cepat adalah bukti kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat dan penduduk dalam bidang perniagaan dan perekonomian mereka.

Namun perkara ini kata Yang Berhormat, juga memerlukan ketelusan dan pemantauan yang teliti supaya ia benar-benar menepati tujuannya diadakan.

Sebagai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Dilantik, tambah Yang Berhormat, kita menyokong dan bersetuju dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mempelbagaikan (diversify) ekonomi selain daripada minyak dan gas.

asri002a 08032015 sumber manusia berilmu berkualiti pencapaian utama

ORANG awam serta kakitangan kerajaan hadir pada Majlis Mesyuarat Negara.

Hasil pendapatan negara 90 peratus daripada minyak ujar Yang Berhormat, telah turun kepada 50 peratus dan pengeluaran minyak telah turun kepada 40 peratus.

“Sudah tiba masanya untuk mempelbagaikan ekonomi dan perniagaan daripada berharap pendapatan minyak dan gas. Ini boleh dilaksanakan dengan jayanya jika ada satu badan yang membimbing ‘monitoring’ sesiapa yang berminat dalam perniagaan dengan program-program bantuan kewangan perlu diperkukuhkan daripada yang sedia ada,” kata Yang Berhormat.

Sementara itu, menurut Yang Berhormat, perubahan ‘mindset’ untuk berdikari daripada hanya mengharapkan bantuan adalah satu idea bernas yang perlu dikembangkan kerana kitani secara teori dalam beberapa kajian yang dibuat sudah mendapati beberapa faktor penyebab kenapa masih ramai memerlukan bantuan.

Pada saat-saat ekonomi global yang sedang menunjukkan penurunan ketara seperti harga minyak yang jauh turun, terutama sekali pendapatan negara lebih dari 90 peratus, dari hasil minyak dan gas, kata Yang Berhormat, satu program jangka pendek perlu dilaksanakan seperti perbelanjaan yang tidak mustahak hendaklah diketepikan buat sementara, serta mengawal pembelian aset rumah perseorangan keluar negeri.

Percutian dan perbelanjaan negeri jiran akan menambah kos bagi negara, ujar Yang Berhormat, membawa balik wang yang dibelanjakan di sana dan cara ini ia boleh mengurangkan ‘foreign exchange lost’ dan ‘cost saving’ dari segi ‘foreign transaction’.

Close