Hormati, hargai kaum wanita



Oleh: Nooratini Haji Abas, Hajah Noor Dina Haji Abd. Rahman / Foto : Azmah Haji Ahad


TIMBALAN Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman semasa merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2015 bagi menghargai peranan dan pencapaian kemajuan wanita yang diadakan  di Dewan Persidangan, Pusat Da’wah Islamiah.


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Mac. - Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Persatuan Siswazah Wanita (PSW) menganjurkan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2015 bagi menghargai peranan dan pencapaian kemajuan wanita yang diadakan di Dewan Persidangan, Pusat Da’wah Islamiah.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan sambutan berkenaan ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman.

Seramai 300 peserta terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, ahli-ahli persatuan-persatuan wanita serta mahasiswa-mahasiswi institusi pengajian tinggi dan penuntut-penuntut sekolah menghadiri sambutan tersebut.

Sambutan diisikan dengan sesi muzakarah mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita (The Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women–CEDAW) disampaikan oleh Yang Di-Pertua PSW, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaluddin dan Yang Di-Pertua Persatuan Jururawat (PENJURU), Datin Paduka Dayang Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah.

Sesi perkongsian tersebut antara lain memberikan peluang kepada kaum wanita di negara ini untuk mengetahui mengenai CEDAW dan menjadikan mereka lebih berinformatif serta dapat memperkasa dalam pelbagai aspek di dalam kehidupan seharian seperti kesejahteraan, pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan sebagainya seperti yang termaktub di dalam CEDAW.

Tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini ialah ‘Jadikannya Suatu Kenyataan’ yang mana ia bertepatan dengan tema Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ‘Make It Happen’ bagi memberi pengetahuan dan kesedaran yang membina dan impak positif kepada kaum wanita dalam merealisasikan CEDAW.

Terdahulu, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaluddin, selaku Pengerusi Bersama Majlis dalam ucapannya menyatakan, sesi muzakarah tersebut membolehkan para peserta yang hadir untuk mengetahui mengenai CEDAW dan kedudukan hak-hak mereka seperti yang digariskan di dalam konvensyen mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita yang berlangsung pada 29 Oktober 2014 di Geneva, Switzerland.

Katanya, ia juga termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan keganasan, aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan wanita-wanita bekerja, penganiayaan wanita semasa bekerja, keseimbangan kerja dan aspek kekeluargaan dan sebagainya.

Oleh itu, beliau berharap sesi soal jawab pada muzakarah itu akan dapat menimba serba sedikit pengetahuan dan isu-isu yang difikirkan perlu untuk diberikan perhatian yang khusus di dalam pelaksanaan konvensyen berkenaan.

Sambutan yang diisytiharkan pada 8 Mac itu bertujuan untuk memberikan penghormatan, penghargaan dan hari kasih sayang terhadap kaum wanita kerana jasa mereka sebagai seorang isteri, ibu dan sumbangan tenaga kerja kepada negara.

Ia juga bagi meraikan dan sebagai mensyukuri pencapaian dan kemajuan kaum wanita dalam bidang ekonomi, politik dan kemasyarakatan.

Close