Berita dan Foto : Hezlinawati Haji Abdul Karim
TEMBURONG, Rabu, 21 Oktober. - Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) mencatatkan terdapat sejumlah 12,524 pengangguran di negara ini.
Daripada jumlah tersebut 4.5 peratus iaitu seramai 563 orang pengangguran terdapat di Daerah Temburong.
Ke
arah memberi pendedahan kepada para pencari kerja tempatan akan
terdapatnya pelbagai jenis pekerjaan di sektor swasta, Agensi Pekerjaan
Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), Kementerian Hal Ehwal
Dalam Negeri telah mengadakan jerayawara mengenai APTK ke seluruh
negara.
Bagi daerah ini, jerayawara diadakan di ruang legar, Kompleks Bangunan Bumiputera, Pekan Bangar di sini.
Jerayawara
mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai termasuk
pencari-pencari kerja dan para majikan sektor swasta yang ingin
mendapatkan maklumat mengenai APTK termasuklah jawatan-jawatan kosong
yang didaftarkan melalui laman sesawang agensi tersebut.
Semasa
jerawayara itu juga para pencari pekerjaan berpeluang mendaftar dan
seterusnya mengaktifkan akaun e-Darussalam iaitu satu langkah yang perlu
dilakukan oleh para pencari pekerjaan sebelum mendaftar sebagai pencari
kerja di laman sesawang APTK.
Menurut
Penolong Pesuruhjaya Buruh, Dayangku Siti Khatizah binti Pengiran Haji
Bakar, jerayawara dikhususkan bagi para pencari kerja tempatan dan
majikan-majikan yang berminat untuk mendapatkan tenaga kerja tempatan.

PENOLONG Pesuruhjaya Buruh, Dayangku Siti Khatizah binti Pengiran Haji Bakar menjelaskan jerayawara dikhususkan
bagi para pencari kerja tempatan dan majikan-majikan yang berminat untuk mendapatkan tenaga kerja tempatan.
Para
pencari pekerjaan katanya hendaklah terlebih dahulu mempunyai akaun
e-Darussalam sebelum mendaftar sebagai pencari kerja tempatan di laman
sesawang JobCentre Brunei.
Jerayawara
selama sehari itu bertujuan untuk membarigakan laman sesawang baru APTK
iaitu HYPERLINK "http://www.jobcentrebrunei.gov.bn"
www.jobcentrebrunei.gov.bn yang telah dilancarkan pada bulan Jun lalu
kepada orang awam khususnya majikan di sektor swasta dan pencari kerja
tempatan.
Selain
itu jerayawara juga adalah untuk menyesuaikan orang awam dengan
tatacara pendaftaran, pengiklanan jawatan kosong, permohonan kerja dan
permohonan perkhidmatan APTK secara 'online'.
Jerayawara
sedemikian diharap akan dapat menarik lebih ramai majikan mendaftar dan
melaporkan kekosongan jawatan di dalam sistem berkenaan untuk
mengetengahkan anak-anak tempatan dalam mengisikan peluang-peluang
pekerjaan, selain dapat memberikan kemudahan kepada para pencari kerja
tempatan dan majikan untuk lebih mengetahui akan
perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh APTK.
Melalui
jerayawara itu, para majikan di sektor swasta akan dapat meningkatkan
kesedaran tentang pentingnya Perintah Pekerjaan 2009 iaitu undang-undang
utama yang mengawal terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan di Negara
Brunei Darussalam.

PENGUNJUNG
Jerayawara Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja
(APTK) berpeluang mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan yang
ditawarkan oleh agensi berkenaan.
Dalam
pada itu, sejak laman sesawang JobCentre Brunei dilancarkan, jumlah
pencari kerja yang berdaftar semakin meningkat dari bulan Jun hingga
Ogos di mana majoriti yang berdaftar adalah dari Daerah Brunei dan Muara
iaitu seramai 548 pencari kerja, diikuti oleh Daerah Belait seramai 13
pencari kerja, enam pencari kerja yang berdaftar di Daerah Tutong,
manakala Daerah Temburong belum menerima sebarang pendaftaran melalui
lawan sesawang berkenaan.
Sementara
itu melalui 'portal online', pada bulan Jun mencatatkan sebanyak 29
(dua puluh sembilan) syarikat mengiklankan sebanyak 186 jawatan kosong.
Daripada
jumlah tersebut, 27 buah syarikat merupakan syarikat yang pernah
berurusan dengan APTK (returning companies) dan selebihnya iaitu dua
buah syarikat lagi adalah yang baru.
Majoriti
daripada syarikat yang mengiklankan adalah daripada Industri
Perdagangan dan Jual Runcit (Retail Traders/Wholesale and Retail
Industry) dan keperluan syarikat.
Manakala
pada bulan Julai pula jumlah syarikat mengiklankan jawatan kosong
menurun kepada 17 buah syarikat dan sebanyak 144 jawatan kosong telah
diiklankan.
Daripada jumlah syarikat tersebut, 13 buah syarikat adalah 'returning companies' dan empat buah syarikat baru.

JERAYAWARA
Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK) juga
memberi peluang kepada para pencari kerja untuk mendaftar dan seterusnya
mengaktifkan akaun e-Darussalam.
Bagi bulan berkenaan, kebanyakan jawatan kosong yang diiklankan adalah daripada industri kedai kopi dan restoran.
Manakala
bagi bulan Ogos pula jumlah syarikat mengiklankan jawatan kosong
bertambah jika dibandingkan dengan bulan Julai iaitu sebanyak 27 buah
syarikat dan mengiklankan sebanyak 294 jawatan kosong.
Pada
bulan itu juga, terdapat beberapa industri yang jarang berurusan dengan
APTK telah mengiklankan melalui 'portal online' ini seperti industri
komunikasi, insurans dan pembuatan.
APTK
merupakan sebuah agensi kerajaan yang berperanan untuk mendaftarkan
nama-nama pencari kerja tempatan dan menyalurkan nama-nama pencari kerja
tempatan yang berdaftar bagi sebarang kekosongan jawatan yang
ditawarkan di sektor swasta dan kerajaan bergaji hari.
Agensi
berkenaan juga melaksanakan Skim Latihan dan Pekerjaan dan
mengendalikan kursus dan latihan, di samping menyertai dan melaksanakan
pameran kerjaya serta menerima aduan dan memberikan kaunseling kepada
pencari kerja tempatan khususnya yang berkaitan dengan Isu Perburuhan
dan Perintah Pekerjaan 2009.