Ketahui hak wanita sebelum dan selepas nikah



Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman


BERAKAS, Jumaat, 14 April. - Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) dengan kerjasama Yusof Halim and Partners menganjurkan Siri Bicara Undang-undang Kali Ke-6 yang diadakan di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Siri Bicara kali ini mendengarkan Ceramah Hak Muslimah Sebelum dan Selepas Nikah yang disampaikan oleh Peguam Syarie dari Malaysia, Puan Norhafsah Hamid yang juga merupakan seorang penulis.

Antara yang turut disentuh dalam siri bicara itu ialah hak-hak wanita sebelum bernikah seperti hak untuk pelajaran dan hak untuk memilih calon suami menurut S46(1)(i) Undang-undang Keluarga Islam Brunei, S53(1)(i) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor.

Turut dibicangkan ialah hak wanita selepas bernikah seperti mengekalkan identitinya - masih berbintikan bapa dan tidak mengambil nama suami; perihal Nafkah - nafkah pakaian, makanan dan tempat tinggal juga termasuk nafkah khas bagi isteri sahaja seperti menurut S61 Undang-undang Keluarga Islam Brunei, S60 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor; juga hak memiliki harta - suami tidak boleh mengambil tanpa kebenaran seperti menurut S44(d) Undang-undang Keluarga Islam Brunei, S53(1)(iv) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor.

Seramai 150 orang menghadiri siri taklimat berkenaan, yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai terhadap undang-undang, selain para perundangan ini turut memainkan peranan mereka dalam menegaskan hak-hak awam di bawah undang-undang.

Dengan adanya Siri Bicara Undang-undang seumpama ini akan dapat memberikan pengetahuan yang dapat menolong dan membantu kepada mereka yang memerlukan, sekurang-kurangnya mereka akan lebih celik serta berpengetahuan tentang bidang undang-undang yang selama ini mungkin mereka kurang ketahui.

Dalam pada itu, MKM juga turut mengadakan Klinik Guaman dan Khidmat Nasihat pada setiap Rabu bermula jam 7.00 malam - 9.00 malam bertempat di Firma Yusof Halim and Partners, No. 15 BT Haji Uthman Kompleks, Simpang 13 Jalan Komersial Jaya Setia.
Close