Laporan : Haji Ahmad Haji Salim / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 7 Mac. - Ke arah mendukung tema belanjawan Tahun Kewangan 2017 / 2018, tumpuan dan keutamaan perbelanjaan kerajaan bagi Tahun Kewangan dijuruskan kepada mendukung lima fokus utama.
Lima fokus utama itu adalah Prudent Spending ataupun perbelanjaan berhemat, meningkatkan produktiviti negara, memudah cara perniagaan, membina kapasiti dan modal insan dan memelihara kesejahteraan awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim menjelaskan perkara itu ketika membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-Undang (2017) Perbekalan 2017 / 2018 Musim Permesyuaratan Ke-13 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2017 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.
Terdahulu dari itu, Yang Berhomat menyentuh bahawa anggaran perbelanjaan bagi Tahun Kewangan 2017 / 2018, termasuk peruntukan bagi kumpulan kemajuan dicadangkan keseluruhannya, sebanyak lima ribu tiga ratus juta ringgit Brunei ($5,300,000,000.00).
Menurut Yang Berhomat lagi, jumlah ini mengambil kira unjuran hasil pendapatan kerajaan bagi tahun berkenaan selaras dengan usaha dalam menangani defisit belanjawan.
“Namun, cadangan jumlah perbelanjaan ini adalah masih jauh lebih tinggi, berbanding anggaran hasil kerajaan yang dinyatakan tadi mengambil kira kepada keperluan perbelanjaan bagi program dan projek yang dirancang,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya berkata, imbangan fiskal Tahun Kewangan 2017 / 2018 yang diunjurkan terus mengalami defisit bagi tahun keempat berturut-turut, selain langkah pengawalan perbelanjaan kerajaan diambil.
Namun, tegas Yang Berhormat, usaha-usaha untuk meningkat hasil kerajaan juga perlu dipergiatkan agar program dan projek yang dikenal pasti bagi perkembangan, termasuk sosioekonomi negara akan terus dapat dilaksanakan.
Pada majlis itu, Yang Berhormat dalam pembentangan juga menggaris secara ringkas keutamaan-keutamaan Prudent Spending ataupun perbelanjaan berhemat iaitu antaranya langkah pengawalan perbelanjaan kerajaan yang telah dilaksanakan termasuk mengemaskinikan kemudahan-kemudahan yang dihulurkan bagi pengawai-pegawai kerajaan yang menghadiri kursus-kursus dan persidangan di luar negara; meneliti bagi ‘right-sizing’ Perkhidmatan Awam; meneliti perbelanjaan-perbelanjaan utiliti yang boleh menjimatkan seperti penggunaan elektrik, air, telefon dan lain-lain.
Sementara itu, tambah Yang Berhormat, keutamaan belanjaan kedua ialah meningkatkan produktiviti negara, di mana penekanan akan terus diberikan kepada produktiviti Perkhidmatan Awam dan sektor swasta.
“Kedua-dua sektor ini saling memerlukan dan berhubung kait bagi mencapai hasrat negara seperti yang ditetapkan di dalam Wawasan Brunei 2035 dengan melaksanakan ‘Whole of Nation approach”, jelas Yang Berhomat.
Yang Berhormat seterusnya berkata, dalam fokus belanjawan yang ketiga iaitu memudah cara perniagaan, di mana katanya kerajaan telah melaksanakan pindaan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan, serta pengemaskinian proses-proses dan prosedur-prosedur dengan matlamat untuk memudah cara perniagaan di negara ini.
Dalam pembentangan kertas cadangan itu, Yang Berhormat turut menyentuh mengenai keutamaan belanjawan keempat iaitu membina kapasiti dan modal insan, di mana menurutnya modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi adalah sumber utama yang diperlukan untuk perkembangan dan kemajuan negara secara progresif.
Ke arah itu tambahnya, usaha berterusan dalam mempersiapkan golongan belia adalah menjadi satu keutamaan dalam perancangan bagi pembangunan dan perkembangan sosioekonomi negara.
“Pembangunan kapasiti dan modal insan ini perlulah dilaksanakan secara holistik, merangkumi perolehan pengetahuan dan kemahiran. Ini termasuklah keupayaan keusahawanan; pemilikan sikap, nilai dan etika positif dan progresif; melalui program-program yang tersusun, bersesuaian dan berpaksikan kepada prestasi atau ‘outcome’, terangnya.
Yang Berhormat berkata, keutamaan belanjawan yang terakhir ialah meningkatkan kesejahteraan awam, yang mana peruntukan-peruntukan bersesuaian akan terus disediakan dibawa fokus ini antaranya dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti terus disediakan.
Antara peruntukan-peruntukan yang disediakan oleh kerajaan termasuk bagi pembelian ubat-ubat sebanyak $36.0 juta; perbekalan dan perkhidmatan perubatan disediakan sebanyak $22.8 juta; sejumlah $4 juta disediakan bagi membiayai kos penghantaran dan rawatan pesakit keluar negara dan $30 juta bagi perkhidmatan rawatan-rawatan pesakit di pusat-pusat rawatan khusus iaitu Gleneagles JPMC, Pusat Kanser Brunei dan Brunei Neuroscience, Stroke & Rehabilitation Centre.