Amalan menabung jamin masa depan



Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim, Nurafilabibah binti Mohd. Shafiee


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 April. - Amalan menabung merupakan amalan mulia yang memberi manfaat kepada kita semua untuk jaminan masa depan.

Sedari kecil kita digalakkan untuk belajar menabung dan  membiasakan diri mempunyai simpanan bagi membantu perbelanjaan di saat memerlukan di samping berbelanja secara berhemat.

Amalan menabung itu boleh dilakukan dengan menyimpan wang di dalam tabung mahupun menyimpannya di dalam akaun simpanan di bank.

Pelita Brunei semasa menemu bual Dayang Nurafilabibah binti Mohd. Shafiee menjelaskan, amalan menabung bermula sejak kecil, atas ajaran dan dorongan orang tua.

Jelasnya, bekas tin atau botol diubahsuai dan dijadikan sebagai tabung bagi menarik minat beliau semasa kecil, dan masih diamalkan sehingga sekarang.

Menurutnya, antara manfaat menabung ialah mempunyai 'back-up money' jika terjadinya apa-apa hal yang memerlukan duit.

Di samping itu katanya, amalan menabung juga dapat mengawal diri daripada pembaziran.

Perkara yang sama turut dipersetujui oleh Dayang Normazlina binti Md. Deli dari Kampung Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang.

Jelasnya, beliau dari sejak kecil sudah biasa menabung. 
“Menabung duit dari sikit-sikit, lama-lama ia akan jadi banyak. Ia juga mengamalkan kita sikap berjimat cermat dan sudah pasti duit yang disimpan dapat digunakan apabila ada kesulitan berlaku seperti kereta rosak atau kehabisan duit belanja", ujarnya.

Sikap menabung ini juga katanya, dapat mengelakkan sikap  boros dan tidak membeli barang-barang yang tidak berfaedah.

Menurutnya, pada masa ini beliau mempunyai dua tabung simpanan iaitu di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan di Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) untuk mengelakkan daripada pembaziran berlaku.

Tambahnya, anak-anaknya dari awal sudah dibuatkan tabung simpanan supaya dapat digunakan di hari kemudian bagi keperluan pendidikan anaknya.
Close