Syukuri pemberian sambut kelahiran anak damit



Oleh: Saerah Haji Abdul Ghani / Foto: Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 April. – Keprihatinan serta pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa mengambil berat akan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini secara berterusan dan ini termasuk dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Sehubungan itu, pemberian lampin pakai buang dan alat penyusuan ibu telah mula dikuatkuasakan pada 1 April lalu.

Pemberian lampin pakai buang dan alat penyusuan ibu ini, adalah semata-mata untuk mengurangkan beban kewangan bagi ibu bapa yang terdiri daripada warganegara Brunei Darussalam dan Penduduk Tetap yang mempunyai anak yang baru dilahirkan. 

Selain itu, ia juga bagi memastikan anak berkenaan akan mendapatkan penjagaan yang sewajarnya terutama sekali dari aspek kesihatan bagi memastikan mereka terjaga dari segi kesejahteraan dan pemakanan serta mendatangkan pelbagai manfaat baik kepada ibu dan anak.

Dengan pemberian itu juga diharap akan menggalakkan ibu-ibu dapat menyusukan anak mereka sebagaimana yang digalakkan dalam Islam sehingga anak mereka berumur dua tahun.

Pemberian lampin pakai buang dan alat penyusuan ibu ini, adalah sebagai usaha kerajaan bagi meringankan beban dari segi perbelanjaan yang banyak, apatah lagi bagi yang kurang mampu dan ia sebenarnya sebagai hadiah kerajaan yang patut kita syukuri dalam menyambut kelahiran anak damit.

Dalam pendekatan Pelita Brunei bersama orang awam mengenai  pemberian lampin pakai buang dan alat penyusuan ibu, Dayang Faridah binti Haji Abdul Rais dari Kampung Perpindahan Lambak Kanan ketika ditemui berkata pemberian seumpama ini sememangnya sangat bagus, di samping ia dapat menjimatkan kewangan para ibu bapa yang menyambut kelahiran anak kecil mereka dan semestinya mengurangkan lagi jumlah perbelanjaan mereka untuk keperluan anak kecil tersebut.

Beliau berharap, orang ramai akan memanfaatkan dengan sebaiknya kerana pemberian yang sangat bernilai ini bagi ibu-ibu yang baru melahirkan anak.

Bagi Dayang Husnol Azrini binti Awang Haji Jublie dari Kampung Sungai Hanching pula melahirkan rasa syukur kerana dikurniakan raja yang prihatin kepada rakyat dan penduduknya terutama dalam pemberian seumpama ini.

Jelasnya, ia merupakan satu keberuntungan bagi rakyat serta penduduk negara ini dan kita seharusnya juga menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia perkenan baginda dalam memberi kemudahan ini.

Close