Siaran Akhbar : Urusetia Jawatankuasa Sektoral Perarakan Jubli Emas
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 September. - Jawatankuasa Sektoral Perarakan Jubli Emas sukacita memaklumkan bahawa sebahagian Jalan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan akan mula ditutup pada hari Rabu, 21 Zulhijjah 1438 Hijrah bersamaan 13 September 2017 Masihi jam 7.00 pagi sehingga hari Jumaat, 15 Muharam 1439H bersamaan 6 Oktober 2017M.
Penutupan ini adalah untuk memberi ruang kepada kerja-kerja pemasangan Grandstand Muhibbah bagi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Bahagian jalan yang akan ditutup ialah hala daripada pusing keliling kecil (round about) Jalan McArthur, bermula dari hadapan Bangunan Teck Guan Plaza sehinggalah ke Traffic Light simpang empat Jalan Pemancha hadapan Bangunan Maya Puri.
Orang ramai dan pengguna-pengguna jalan raya adalah dinasihatkan untuk mematuhi papan-papan tanda dan membuat perancangan laluan terlebih dahulu jika hendak menghala ke kawasan tersebut; mengosongkan kenderaan dari tempat-tempat tersebut dan tidak meletakkan kenderaan di kawasan-kawasan atau jalan yang telah dikenal pasti dinyatakan di atas sebelum tarikh dan masa bermula penutupan jalan bagi memberi laluan dan melancarkan kerja-kerja pemasangan Grandstand Muhibbah.