Enam Produk Kosmetik dicemari bahan terlarang



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 Jun. - Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan enam produk kosmetik yang mana hasil daripada ujian makmal Perkhidmatan Makmal Farmasi, Kementerian Kesihatan telah mendapati bahawa produk-produk tersebut dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan. 

Siaran Akhbar Kementerian Kesihatan, produk-produk berkenaan adalah Cantiqa Skincare - Toner, Cantiqa Skincare - Daily Cream, dan Cantiqa Skincare - Nightly Cream di bawah pengilang Pusratu Global Academy Sdn. Bhd., Malaysia yang masing-masing dicemari dengan Hydroquinone dan merkuri.

Sementara produk lain, iaitu Fj Glow Beauty - Fj Glow Night Cream dan Fj Glow Beauty - Fj Glow Treatment Cream di bawah pengilang Jotono Corporation Sdn. Bhd., Malaysia juga telah didapati dicemari dengan Hydroquinone dan merkuri.

Manakala produk Rzac Cosmetic - Platinum Toner di bawah pengilang Rzac Cosmetic, Malaysia telah dicemari dengan Hydroquinone and Tretinoin.

Bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh meyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna; yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Hydroquinone dan Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik). 

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatan risiko kanser kulit.

Penggunaan Tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan / atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah membeli atau menggunakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta-merta. Jika mereka mengalami kesan sampingan dan  berasa tidak sihat selepas penggunaan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.  

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara ‘online’ seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ia adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik dipasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi BND5,000 penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan kepada Perkhidmatan Peraturan-Peraturan Kesihatan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Perkhidmatan Peraturan-Peraturan Kesihatan melalui talian telefon +673 2384182, menghantar e-mel kepada ‘health.regulations@moh.gov.bn’ atau berjumpa terus Pegawai Penguatkuasaan di Perkhidmatan Peraturan-Peraturan Kesihatan, Tingkat 1, Kementerian Kesihatan, Jalan Menteri Besar, Negara Brunei Darusalam.

Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Darussalam 123 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Close