7 kumpulan teater tempatan bakal meriahkan NTFB




Siaran Akhbar : National Theatre Festival Brunei

 


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 Disember. - Festival Teater Kebangsaan Brunei (NTFB) akan memulakan tayangan kedua pada minggu kedua Disember, mulai dari 5 hingga 11 Disember 2022.

 

Festival ini dianjurkan oleh 247 Studio kumpulan teater tempatan dengan AICREATIVV, Medley House Productions, The Creative Core BN sebagai rakan kreatif dan Think Axis sebagai rakan strategik, NTFB adalah aktiviti festival teater yang diadakan selama seminggu bermula dengan forum dan dialog, bengkel dan juga persembahan.

 

NTFB disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Bank Baiduri yang merupakan rakan kongsi acara. NTFB juga disokong oleh Mix Media Works (MMW), Artly Design, Printzmartz Advertising dan Pullman Miri Waterfront.

 

Rakan kongsi rasmi ialah Pusat Kesenian Pro-Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Pusat Startup UBD, di mana masing-masing mengadakan persembahan dan bengkel.

 

Festival ini juga merupakan sebahagian daripada Festival Disember Brunei (BDF) kali keenam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, berkata sokongan mereka terhadap persada seni kreatif tempatan yang semakin berkembang mencerminkan komitmen mereka untuk berhubung dengan dan memberi kembali kepada masyarakat serta menceriakan kehidupan orang ramai melalui kreativiti dan inovasi.

 

“Kami percaya sepenuhnya bahawa seni memainkan peranan asas dalam memperkayakan kehidupan dan mengukuhkan ikatan masyarakat dalam komuniti kami, dan amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada Festival Teater Kebangsaan Brunei tahun ini," ujarnya.

 

NTFB tahun ini menampilkan tujuh kumpulan hiburan tempatan dari seluruh negara, iaitu 247 Studios, Bruhaha Comedy, Kumpulan PUTRA Seni, Lakap Lagor, Medley House Productions, RAKIS UBD dan Sutera Memento.

 

Kumpulan yang mengambil bahagian dijadualkan untuk mengadakan 14 persembahan, tujuh bengkel manakala rakan festival pula akan menganjurkan lima forum.

 

Orang ramai yang berminat boleh membeli tiket dengan melayari “https://bit.ly/NTFB2022". Tiket juga boleh didapati di depan pintu masuk.



Close