Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed
BELAIT, Khamis, 13 Ogos. - Epal mempunyai banyak faedah dan manfaat buat kesihatan kerana epal kaya dengan antioksidan.
Antioksidan diperlukan dalam tubuh dan epal juga mampu meningkatkan sistem imun untuk melawan penyakit.
Epal ada beberapa warna, termasuk kekuningan, hijau dan merah menyala, selain punya rasa masam manis dan manis seperti gula.
Selain dimakan begitu saja, epal boleh dimasak sebagai hidangan pencuci mulut.
Epal kaya dengan serat yang dikenali sebagai pektin dan sebiji epal bersaiz sederhana mempunyai kira-kira empat gram serat.
Pektin merupakan sejenis serat larut yang mampu ditapai dan mempunyai struktur likat yang memberikan manfaat besar buat kesihatan.
Terdapat dua jenis epal yang paling digemari ramai, iaitu Red Delicious, berwarna merah; dan 'Granny Smith', berwarna hijau.
Antara manfaat epal kepada tubuh, ia mampu menggantikan sepenuhnya penggunaan berus dan ubat gigi hanya dengan menggigit dan mengunyah epal, di mana ia menggalakkan pengeluaran air liur, seterusnya mengelak masalah gigi reput, menurunkan paras bakteria dalam mulut dan menjadikan gigi lebih sihat juga putih.
Epal juga mampu membantu melindungi daripada penyakit pelupa atau Alzheimer's.
Pada masa yang sama, kandungan serat epal yang tinggi boleh melindungi seseorang daripada penyakit Parkinson's.
Kandungan flavanol yang tinggi dalam epal boleh membantu menurunkan risiko Kanser Pankreas.
Kulit epal juga mempunyai keupayaan menghalang aktiviti Kanser pada Hati, Kolon dan Dada.
Jika mengambil sebiji epal setiap hari mempunyai risiko lebih rendah mendapat Diabetes kerana kandungan serat yang tinggi menstabilkan gula dalam darah, selain rasa kenyang lebih lama dan mengelak makan terlalu banyak.
Serat larut yang ada dalam epal juga mampu mengikat lemak yang ada dalam usus yang dapat mengelak penyerapan kolesterol yang tinggi ke dalam tubuh.
Bahan yang terdapat pada kulit epal boleh membantu menyihatkan jantung, mengelak pembentukan plak kolesterol pada dinding arteri dan melancarkan peredaran darah ke jantung.
Pembentukan batu hempedu juga dapat dielak apabila kandungan kolesterol menurun dalam tubuh.
Selalunya masalah batu karang banyak berlaku pada golongan yang mengalami kegemukan melampau. Batu hempedu terbentuk apabila terdapat terlalu banyak kolesterol dalam pundi hempedu dan ia bertukar menjadi pepejal.
Serat epal boleh membantu mengelak masalah cirit-birit atau sembelit, kerana epal mampu menarik keluar air daripada usus ataupun menyerap air berlebihan bagi membantu melancarkan pembuangan air besar.
Pengambilan kandungan serat yang tinggi mampu melegakan sakit perut dan masalah perut kembung.
Epal juga membantu mencegah masalah buasir, di mana keadaan saluran darah pada laluan dubur bengkak dan sangat menyakitkan.
Kandungan serat yang tinggi dalam epal mampu membantu mengurangkan rasa lapar, seterusnya dapat mengawal berat badan dalam jangka panjang, antaranya sakit jantung, strok, darah tinggi, diabetes dan masalah sukar tidur.
Epal memberi alternatif yang murah dan mudah untuk menyingkirkan toksin daripada hati, hati yang sihat mampu menjalankan tugas menyingkirkan pelbagai toksin daripada badan dan menjadikan tubuh lebih sihat.
Sementara epal merah memiliki sejenis antioksidan yang dikenali sebagai quercetin, membantu meningkatkan sistem pertahanan badan, terutama ketika dalam keadaan tertekan.
Mereka yang mengambil epal yang kaya dengan bahan antioksidan mempunyai risiko lebih rendah untuk mendapat katarak.