Makan ubat, patuhi nasihat doktor



​Berita dan Foto : Mohamad Azmi Awang Damit

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Mematuhi nasihat doktor dalam pengambilan ubat-ubatan yang betul, dari segi jenis ubat, dos, cara pengambilan, kekerapan dan tempoh pengambilan adalah penting agar kesan terapeutik ubat yang dihasratkan dapat dicapai.

 


Secara umumnya, terdapat dua cara mudah untuk mengetahui tatacara makan ubat, pertama, dengan mendengar secara teliti dan memahami sepenuhnya penjelasan daripada doktor atau ahli farmasi semasa diberikan preskripsi ubat-ubatan; dan kedua, melalui label ubat-ubatan yang dibekalkan.

 


Secara umumnya, label ubat-ubatan mengandungi nama dan alamat premis produk ubat dibekalkan; nama produk ubat; kekuatan produk ubat; arahan penggunaan; tarikh ubat dibekalkan; tarikh mansuh; amaran tambahan; juga nama pesakit.

 


Di Negara Brunei Darussalam, melalui Peraturan Ubat (Pelabelan Ubat), 2010, semua produk ubat yang dibekalkan di Negara Brunei Darussalam, sama ada di dispensari kerajaan atau swasta adalah diwajibkan untuk dilabel.

 


Melalui label berkenaan, para pesakit yang menerima ubat akan lebih dapat memahami, seterusnya mematuhi arahan-arahan doktor untuk rawatan optima melalui ubat yang dikhaskan bagi setiap pesakit, seterusnya mematuhi amaran-amaran tambahan juga tidak mengambil ubat-ubatan telah mansuh.


 

Kegagalan untuk mematuhi arahan doktor atau membaca label ubat akan menyebabkan pesakit tidak mendapatkan rawatan yang optima dan memberikan kesan sampingan lainnya.

 


Oleh yang demikian, pesakit perlu memastikan ubat-ubatan yang diterima adalah atas nama sendiri seperti yang disarankan oleh doktor atau ahli farmasi dan tidak menggunakan ubat-ubatan daripada orang lain.

 


Selain itu, perlu juga dipastikan arahan-arahan yang diberikan oleh doktor dan ahli farmasi juga yang tertera di label ubat difahami, diikuti tatacara pengambilan dan penggunaannya.

 


Pesakit juga perlu mematuhi amaran-amaran tambahan yang dijelaskan dan tidak menggunakan sebarang ubat-ubatan daripada bekas-bekas yang tidak berlabel.

 


Sebarang keraguan atau soalan berkaitan dengan ubat-ubatan, para pesakit perlu menghubungi doktor atau ahli farmasi yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut sebelum menggunakannya.

 


Close