Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed
LUMUT, Isnin, 27 Julai. - Sembahyang Sunat Dhuha merupakan solat sunat yang digalakkan untuk dilaksanakan dan mempunyai banyak kelebihan buat mereka yang mengerjakannya.
Ia menandakan seseorang sedang memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan kasih dan cinta-Nya agar segala doa juga hajat dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Waktu Dhuha bermula tatkala matahari naik lebih kurang setinggi sebatang galah, kira-kira 20 minit selepas terbit matahari dan berakhir apabila matahari berada tepat di tengah-tengah langit, kira-kira sembilan minit sebelum masuk waktu Zuhur.
Sembahyang Sunat Dhuha merupakan salah satu ibadah yang sangat dianjurkan kerana memiliki banyak manfaat dan keutamaan di dalamnya.
Pahala Sembahyang Sunat Dhuha tidak hanya berupa dicukupkan harta, namun juga diampuni segala dosa.
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, ''Barang siapa yang selalu mengerjakan Sembahyang Sunat Dhuha, nescaya akan diampuni dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan''. (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Terdapat banyak manfaat dan kebaikan yang boleh diperoleh dengan mengamalkan Sembahyang Sunat Dhuha, antaranya ialah dapat membuka pintu-pintu rezeki.
Dengan mengamalkannya, seseorang itu akan memperoleh rezeki yang melimpah-ruah dan hati yang tenang.
Rezeki itu tidak semestinya datang dalam bentuk wang ringgit dan harta benda sahaja, malah ia juga boleh datang dalam pelbagai bentuk, seperti kesihatan tubuh badan; rezeki mencukupi dan berkat; anak-anak yang soleh juga solehah; dan dapat mengerjakan ibadat umum juga khusus.
Malah Allah Subhanahu Wata'ala akan mempermudah segala urusan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, dengan mengamalkan Sembahyang Sunat Dhuha juga, seseorang itu akan mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Mungkin pada awalnya, seorang akan berasa berat untuk melakukannya, namun jika ia dijadikan amalan rutin harian, nescaya akan berasa nikmat dan seronok mengerjakannya.
Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam lagi, ''Barang siapa yang Sembahyang Sunat Dhuha dua rakaat, maka dia ditulis sebagai orang yang tidak lalai dan barang siapa yang mengerjakannya sebanyak empat rakaat, maka dia ditulis sebagai orang yang ahli ibadah. Dan barang siapa mengerjakannya lapan rakaat, maka Allah tulis dia sebagai orang yang taat. Dan barang siapa mengerjakannya dua belas rakaat, maka Allah akan membangunkan sebuah rumah di syurga untuknya''. (Hadis riwayat Thabrani).
Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberikan kemudahan agar kita sentiasa istiqamah melaksanakan Sembahyang Sunat Dhuha.