'Fake braces' bahayakan kesihatan gigi



​Oleh : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Laman Sesawang Kementerian Kesihatan dan Ihsan

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Julai. - 'Braces' sememangnya amat popular dalam kalangan belia di Negara Brunei Darussalam, namun ada di antara golongan belia di negara ini terpedaya untuk menggunakan 'fake braces' (braces palsu).

 


'Fake braces' yang dipasang pada gigi menyerupai 'braces' sebenar, namun ia tidak berfungsi seperti 'braces' sebenar (Aplians Ortodontik), yang terdiri daripada alat-alat yang digunakan untuk rawatan, seperti pendakap, wayar dan getah yang dilekatkan pada permukaan gigi.

 


Peralatan Ortodontik yang digunakan oleh Pakar Ortodontik ialah Aplians Tetap (Fixed appliances) atau Aplians Boleh-Tanggal (Removable Appliances).

 


Jenis peralatan yang digunakan untuk rawatan akan ditentukan bergantung kepada tahap masalah pergigian individu. Jenis rawatan akan ditentukan oleh Pakar Ortodontik setelah individu menjalani pemeriksaan penuh kesihatan, termasuk meneliti sejarah kesihatan dan pergigian juga pengambilan gambar X-Ray keadaan pergigian individu.

 


Aplians Tetap (Fixed appliances) digunakan oleh doktor pakar pergigian untuk menggerakkan gigi yang tidak teratur dengan pemeriksaan secara berkala sehingga menjadi susunan yang cantik, di mana pemeriksaan berkala tersebut memakan masa sehingga dua setengah hingga ke tiga tahun.

 


Bagi golongan remaja, pemakaian 'braces' dilihat sebagai suatu fesyen atau trend, di mana permukaan gigi dihiasi dengan getah-getah ortodontik, yang berwarna-warni dan pelbagai bentuk menarik kelihatan, seperti aksesori dengan 'design' dan corak yang menarik, seperti bunga, watak kartun dan sebagainya.

 


Susunan gigi mereka ini biasanya sudah teratur dan tidak memerlukan rawatan pergigian, tetapi oleh kerana ingin mengikut trend dalam kalangan rakan sebaya, mereka sanggup melekatkan 'fake braces' ini pada permukaan gigi masing-masing.

 


'Fake braces' ini pula boleh dibeli dalam talian menerusi media sosial, iaitu Instagram, Facebook dan Twitter, di mana sebilangannya dijual secara haram dan tanpa lesen atau kebenaran yang sah.

 


Kos pembayaran harga bagi 'fake braces' ini jauh lebih murah berbanding dengan rawatan pergigian.

 


Namun harus diingat bahawa penggunaan 'fake braces' turut memberikan beberapa kesan sampingan, seperti gigi terhakis oleh kerana material yang digunakan tidak selamat, gusi berdarah, ulser dan jangkitan mulut.

 


Selain itu, pemasangan 'fake braces' boleh menyebabkan pergerakan gigi secara tidak langsung, walaupun pergerakan gigi ini mungkin tidak banyak, ada juga kes dilaporkan menyebabkan gigi bergoyang dan hampir tertanggal daripada gusi.

 


Dengan ini, marilah kita bersama-sama menghindari penggunaan 'fake braces' dalam kalangan remaja muda masyarakat kita agar kita semua terpelihara, bukan sahaja dari segi kesihatan gigi, malah kesihatan diri secara keseluruhannya. Senyuman manis bermula daripada hati yang mulus, hindari penggunaan 'fake braces'.


Close