Laporan : Haniza Abdul Latif / Foto : Haji Ariffin Haji Mohd. Noor / Morsidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. - Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-16 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) berakhir hari ini dengan sidang sebulat suara meluluskan peruntukan belanjawan negara sejumlah BND5.86 bilion bagi Tahun Kewangan 2020 / 2021 yang akan berkuat kuasa mulai 1 April 2020.
Persidangan yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, di sini, telah menyelesaikan dan meluluskan Suatu Akta Untuk Membekalkan Sejumlah Wang Dari Kumpulan Wang Yang Disatukan Bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2020 / 2021 dan untuk memperuntukkan wang yang tersebut itu bagi maksud-maksud tertentu.
Selain itu, persidangan juga telah meluluskan dua buah ketetapan-ketetapan iaitu Ketetapan Pertama adalah Ketetapan Di bawah Fasal 83 (7) Dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959 yang telah dicadangkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong untuk mencadangkan "Majlis ini membuat Ketetapan menurut Fasal 7 Perkara 83 Dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959, bahawa tiap-tiap Perintah yang dibuat di bawah Fasal 3 Perkara 83 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang dibentangkan di hadapan Majlis ini sebagai Kertas No. 1 Tahun 2020 adalah masing-masing mulai dari perintah itu diluluskan".
Sebanyak 17 buah Perintah-perintah yang telah disenaraikan dan Perintah-perintah tersebut telah dikurniakan perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk diguna pakai.
Sebahagian daripada Perintah-perintah ini sudahpun berjalan dan diguna pakai pada tahun 2019 yang lalu dan sebahagian lagi telah mula berjalan pada tahun 2020.
Kesemua Perintah ini telah diterbitkan dalam 'Warta Kerajaan' menurut Peraturan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.
Manakala Ketetapan Kedua ialah di bawah Bab 4 (2) dari Akta Kumpulan Wang Kemajuan (Penggal 136) dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, supaya menetapkan menurut majlis ini, dengan ini membuat Ketetapan seperti yang dikehendaki Bab 4 (2) dari Akta Kumpulan Wang Kemajuan (Penggal 136), bahawa perbelanjaan sejumlah BND 800,000,000.00 dibenarkan, diperuntukkan dan dipohonkan dari Kumpulan Wang Kemajuan untuk maksud-maksud tertentu di bawah ini dan disebutkan dalam Anggaran Belanjawan Kemajuan 2020 / 2021 dibentangkan sebagai Kertas No. 2 Tahun 2020.
Kedua-dua buah ketetapan ini telah diluluskan dengan sebulat suara dengan tidak perlu dibahaskan.
Mesyuarat pada kali ini telah dipercepatkan berikutan penularan jangkitan wabak COVID-19 yang telah diisytiharkan sebagai global pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Persidangan MMN ditangguhkan mengikut Peruntukan 35 (i) dari Peraturan Majlis Mesyuarat Negara, dan akan bersidang semula pada satu masa yang belum ditetapkan tarikhnya.