Perkembangan terkini COVID-19



​Siaran Akhbar: Kementerian Kesihatan

 






BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 Mac. - Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenai Wabak Penyakit Coronavirus baharu (COVID-19) kepada orang ramai. Setakat 5 Mac 2020, sebanyak 93,865 kes COVID-19 telah dilaporkan di seluruh dunia.

 

Sebahagian besar daripada jumlah ini iaitu sebanyak 80,409 kes adalah dilaporkan di Republik Rakyat China. Dalam pada itu, terdapat 156 kes yang dilaporkan di luar mainland China iaitu Hong Kong SAR (104 kes dan 3 kematian), Macau SAR (10 kes) dan Taiwan (42 kes dan 1 kematian).

 

Bermula dari sekitar 22 Februari 2020, peningkatan yang ketara telah dilihat di negara-negara di luar Republik Rakyat China di mana sebanyak 13,302 kes COVID-19 dengan 266 kematian telah dilaporkan di 77 buah negara di seluruh dunia.

 

Susulan dengan ini, Kementerian Kesihatan telah meneliti semula penilaian risiko bagi negara-negara terjejas dengan mengambil kira profil jangkitan dan penularannya serta keadaan setempat. Berikutan dengan ini, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan orang ramai bahawa mana-mana pelawat yang telah berada di Republik Islam Iran dan Itali dalam masa 14 hari sebelum tiba di Negara Brunei Darussalam adalah tidak dibenarkan masuk ke negara ini termasuk bagi tujuan transit.

 

Larangan ini adalah sama dengan larangan yang sedia ada bagi pelawat-pelawat yang tiba dari Wilayah Hubei, Jiangsu dan Zhejiang di Republik Rakyat China dan adalah dikecualikan bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

 

Setakat 4 Mac 2020, semua negara-negara yang terjejas oleh Wabak COVID-19 telah dibahagikan kepada empat kategori iaitu:

 

Kategori A - Negara-negara yang menunjukkan penularan jangkitan yang berterusan.

Termasuk: Mainland China, Itali, Republik Islam Iran, Republik Korea.

 

Kategori B - Negara-negara yang menunjukkan penularan jangkitan yang terhad tetapi kluster bersaiz besar telah dilaporkan.

Termasuk: Perancis, Jerman, Hong Kong SAR, Jepun, Singapura.

 

Kategori C - Negara-negara yang menunjukkan penularan setempat.

Termasuk: Macau SAR, Malaysia (kecuali Sabah, Sarawak dan Labuan), Taiwan, Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Vietnam.

 

Kategori D - Negara-negara yang melaporkan isolated cases atau kes yang diimport.

Termasuk: Negara-negara lain yang terjejas

 

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membuat perjalanan yang tidak penting (non-essential travel) ke negara-negara yang tersenarai di dalam Kategori A, B dan C. Dalam pada itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan dari keluar negara pada musim cuti persekolahan yang akan menjelang tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, orang ramai yang melakukan perjalanan keluar negara adalah dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah-langkah berjaga-jaga dan mengutamakan amalan kebersihan diri bagi menghindari sebarang risiko jangkitan.Ini adalah terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi seperti penghidap penyakit kronik (diabetes, penyakit kardiovaskular, penyakit buah pinggang, penyakit respiratori dan kanser), warga emas serta perokok.

 

Bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang pulang daripada negara-negara yang disenaraikan di dalam Kategori A adalah dikehendaki untuk menjalani pengasingan diri (self-isolation) selama 14 hari sebaik saja tiba di negara ini. Pengasingan diri (self-isolation) bererti mengasingkan diri dari menyertai aktiviti-aktiviti yang melibatkan orang awam dan ditegah dari keluar rumah atau menerima tetamu atau pergi ke tempat awam di sepanjang tempoh pengasingan, kecuali untuk mendapatkan rawatan perubatan. Sesiapa yang memerlukan pengesahan pengasingan diri bolehlah menghubungi Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan di talian 2380316 ataupun 2380318 pada waktu bekerja.

 

Manakala sesiapa yang baru tiba di negara ini dari negara-negara yang tersenarai di dalam Kategori B dan Kategori C hendaklah melakukan pemantauan diri (self-monitoring) tanpa perlu mengasingkan diri daripada orang lain. Pemantauan diri (self-monitoring) bererti memantau kesihatan diri sendiri tanpa pengasingan diri selama 14 hari dan jika mempunyai simptom-simptom demam panas atau tanda-tanda jangkitan pernafasan seperti batuk kering atau susah bernafas, perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan segera di pusat-pusat kesihatan.

 

Kementerian Kesihatan akan sentiasa mengemas kini senarai negara-negara di dalam semua kategori mengikut situasi semasa. Maklumat terkini mengenai negara-negara di dalam setiap kategori boleh diperoleh dengan menghubungi Talian Nasihat Kesihatan (Health Advice Line) 2381380 dan 2381383 pada waktu bekerja atau dengan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn/SitePages/COVID-19.aspx.

 

Alhamdulillah setakat ini, tidak ada kes jangkitan pernafasan akut teruk yang berkaitan dengan COVID-19 telah dikesan di Negara Brunei Darussalam.

 

Sementara itu, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai status kesihatan dua orang warga Negara Brunei Darussalam yang dibawa pulang dari Wuhan, Republik Rakyat China pada 8 Februari 2020. Kedua-dua mereka telah menamatkan tempoh pengasingan pada 22 Februari 2020 dan berada dalam keadaan yang sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda jangkitan. Mereka juga telah menjalani ujian makmal bagi virus COVID-19 semasa tempoh pengasingan yang mana kesemua hasil ujian tersebut adalah negatif.

 

Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai adalah juga dinasihatkan untuk mengamalkan amalan kesihatan yang baik pada setiap masa iaitu:

 

• Mengekalkan tahap kebersihan diri;

• Kerap membasuh tangan dengan air yang bersih dan sabun atau menggunakan hand sanitiser (terutamanya sebelum mengendalikan makanan, sebelum makan, selepas menggunakan tandas, atau selepas batuk atau bersin);

• Memakai penutup hidung dan muka (mask) jika awda mempunyai tanda-tanda jangkitan pernafasan seperti batuk atau selesema;

• Menutup mulut dengan tisu ketika batuk atau bersin, dan membuang tisu itu ke dalam tong sampah dengan segera;

• Elakkan dari mendekati orang yang sakit, kurang sihat atau menunjukkan tanda-tanda penyakit seperti demam panas, batuk atau sesak nafas;

• Elakkan daripada menziarahi orang yang sakit jika awda sendiri merasa kurang sihat atau mempunyai tanda-tanda jangkitan; dan

• Dapatkan rawatan perubatan dengan segera jika awda merasa kurang sihat.

 

Kementerian Kesihatan akan terus mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi, dan bekerjasama dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta negara-negara jiran bagi mengawal keadaan ini. Dalam hal ini, orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak merasa cemas dan panik. Kementerian Kesihatan akan memaklumkan orang ramai dari masa ke masa mengenai sebarang perkembangan terkini dan apa jua langkah-langkah yang perlu dilaksanakan.

 

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Nasihat Kesihatan (Health Advice Line) 2381380 dan 2381383 pada waktu bekerja atau Talian Darussalam 123 di luar waktu bekerja. Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai jangkitan COVID-19, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn/SitePages/COVID-19.aspx.


Close