Tingkatkan kemahiran Bahasa Melayu pelajar



​Oleh : Khartini Hamir / Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 September. - Terdapat pelbagai faktor penyumbang terhadap ketidakseimbangan peratus keputusan pencapaian Bahasa Melayu dalam peperiksaan PSR dari tahun 2002 hingga 2017 jika dibandingkan dengan pencapaian peratus Bahasa Inggeris.

 

Perkara tersebut dijelaskan dalam ucapan alu-aluan Pengetua Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Dayang Hajah Mariam binti Haji Ladi.

 

Jelas beliau lagi, strategi-strategi pembaikan hendaklah dipertimbangkan dari aspek guru, pelajar, ibu bapa, kepimpinan sekolah dan kurikulum, yang mana satu perkara signifikan yang perlu ditanamkan dalam diri sebagai pendidik ialah mempelajari bahasa untuk menjawab soalan peperiksaan adalah penting tetapi mendapatkan kemahiran berbahasa Melayu adalah satu amanah yang perlu dipikul kerana Bahasa Melayu adalah Bahasa rasmi negara.

 

"Dari itu Bulan Bahasa yang dianjurkan ini adalah satu usaha berterusan yang diungkayahkan oleh Jabatan Bahasa Melayu sekolah ini yang sentiasa mengambil berat dan berusaha keras untuk memantapkan kualiti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu," beliau berucap demikian semasa hadir selaku tetamu kehormat pada Aktiviti Sempena Bulan Bahasa Melayu 2018  anjuran Jabatan Bahasa Melayu, YSHHB dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bertempat di dewan sekolah rendah berkenaan.

 

Dayang Hajah Mariam menambah, antara kelemahan isi dalam penulisan sesebuah karangan adalah berpunca daripada ketiadaan isi utama dalam sesebuah perenggan; kelemahan penghuraian tentang isi utama; pemilihan perkataan yang tidak bernas; penggunaan gaya tidak tepat dan sepadan dan berbagai-bagai lagi.

 

Dari itu jelasnya adalah diharapkan melalui aktiviti Bulan Bahasa Melayu ini akan berjaya melahirkan pelajar yang berminat, berkeyakinan dan akan beroleh ilmu yang bermanfaat untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam subjek Bahasa Melayu.

 

Turut berangkat menyertai Aktiviti Sempena Bulan Bahasa Melayu 2018 tersebut ialah cucunda-cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez bin Pengiran Anak Khairul Khalil dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah binti Pengiran Anak Khairul Khalil.

 

Juga hadir sama pada majlis tersebut, Ketua Eksekutif Sekolah Yayasan, Awang Norhaizamddin bin Haji Mosbi; Pemangku Pengarah DBP, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak; Pengetua Sekolah Menengah Yayasan, Madam Chong Li Chen; Pemangku Pengetua TASKA, Datin Hajah Zainab binti Haji Abdul Wahab serta pegawai dan kakitangan dari DBP.

 

Bulan Bahasa Melayu Tahun 2018 Sekolah Rendah YSHHB yang diadakan selama dua hari tersebut diserikan dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang diungkayahkan oleh pihak DBP antaranya aktiviti yang melibatkan Komunikasi, Mendengar dan Memori; Menulis dan Kreativiti; serta Membaca dan Memori.

 

Sebanyak sembilan buah petak aktiviti dari pihak DBP turut disediakan bagi penyertaan murid-murid antaranya dari Unit Jawi mengadakan 'Sahiba Jawi'; Seni Lukis dan Reka Bentuk mengadakan Karikatur, 'Face-Painting' dan Lakaran Minda; Bahagian Perancangan Buku - Kuiz Interaktif; Unit Perkamusan - Junjung Dialek; Unit Peristilahan - Cambah Kata; Bahagian Sastera dan Majah - Mencari Perkataan Tersembunyi; Unit Penterjemahan - Aktiviti Bacaria Bacathon (amazing race); Bahagian Perpustakaan - Sesi Mari Bercerita dan Sudut Membaca; dan Bahagian Pemasaran - mengetengahkan buku-buku hasil terbitan DBP.

 

Antara fungsi dan objektif aktiviti seumpamanya diadakan adalah bagi mempertingkatkan lagi minat murid terhadap pelajaran Bahasa Melayu; melahirkan pelajar yang berpengetahuan dan berkeyakinan; mendapat pengetahuan yang lebih mendalam mengenai Bahasa Melayu secara informal; dan belajar sambil berinteraktif dapat memberikan kesan yang positif pada minda pelajar.



Close