HPS GLOW : Mengukuhkan struktur, budaya sekolah sihat




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





BERAKAS, Sabtu, 11 Julai. -  Sebanyak 12 buah sekolah rendah dan menengah kerajaan menerima pengiktirafan pada Majlis Anugerah Sekolah Mempromosi Kesihatan Health Promoting School Growing, Learning, Optimizing towards better Well-being in School (HPS GLOW) 2026, sebagai penghargaan terhadap komitmen aktif mereka melaksanakan inisiatif pemerkasa persekitaran sihat serta menyokong kesejahteraan warga sekolah, selaras dengan dasar-dasar kesihatan dan pendidikan negara.


Diadakan di Dewan Mawaddah, Setia Point, di sini, majlis anjuran Pusat Promosi Kesihatan (PPK), Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan berkenaan juga menjadi wadah pengiktirafan dan motivasi berterusan kepada pihak sekolah untuk memperkukuh amalan persekitaran yang kondusif ke arah peningkatan tahap kesihatan fizikal, mental dan sosial dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah secara menyeluruh. 


Hadir selaku tetamu kehormat bersama majlis, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.


Turut hadir, Setiausaha-Setiausaha Tetap dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat sebelum diteruskan dengan Majlis Perasmian Anugerah dan lawatan tetamu-tetamu kehormat ke 12 reruai pameran sekolah-sekolah HPS GLOW yang terlibat.


Pameran berkenaan memaparkan pelbagai inisiatif, aktiviti dan amalan terbaik yang telah diungkayahkan oleh sekolah dalam memperkasa persekitaran sekolah yang sihat, selamat dan menyokong kesejahteraan murid serta seluruh warga sekolah sepanjang tempoh program sejak tahun lalu. 


Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua PPK, Kementerian Kesihatan, Dr. Siti Rosemawati bin Haji Md. Yussof, selaku Pengerusi Bersama Majlis.


Dr. Siti Rosemawati dalam ucapannya menegaskan bahawa pengiktirafan berkenaan hendaklah dilihat sebagai permulaan kepada usaha yang lebih mantap dan lestari, di samping menjadi dorongan kepada sekolah-sekolah untuk terus mengukuhkan struktur dan budaya sekolah yang sihat serta berkongsi amalan terbaik dengan sekolah-sekolah yang lain.


Acara juga diserikan dengan tayangan klip video montaj 'HPS GLOW Schools in Action' yang memaparkan rakaman aktiviti-aktiviti promosi kesihatan di 12 buah sekolah HPS GLOW, termasuk usaha memupuk budaya pemakanan sihat, aktiviti fizikal, kebersihan diri dan sokongan kesejahteraan mental di persekitaran sekolah.


Tayangan berkenaan turut menampilkan temu bual ringkas dengan guru-guru dan pemimpin-pemimpin sekolah yang berkongsi pengalaman mereka melaksanakan HPS GLOW serta perubahan positif yang mula dilihat dalam kalangan murid dan warga sekolah.


Pelaksanaan HPS GLOW 2.0 adalah berasaskan pendekatan holistik Whole-of-School Approach yang melibatkan kepimpinan sekolah, guru, murid, ibu bapa, komuniti dan agensi-agensi berkepentingan dalam merancang serta melaksanakan pelan tindakan yang bersesuaian dengan keperluan sekolah masing-masing.


Pendekatan berkenaan membantu memupuk rasa tanggungjawab dan kekitaan dalam kalangan warga sekolah, di samping memperkasa kapasiti sekolah untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong pembelajaran, kesihatan dan kesejahteraan secara bersepadu.


Melalui inisiatif berkenaan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan terus memperkukuh kerjasama strategik ke arah membangunkan sistem sekolah yang lebih menyokong kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak dan remaja di Negara Brunei Darussalam (NBD).


Majlis Anugerah Sekolah Mempromosi Kesihatan HPS GLOW 2026 juga meraikan, menghargai usaha sekolah-sekolah dalam memperkasa budaya hidup sihat serta kesejahteraan warga sekolah melalui pelaksanaan inisiatif Sekolah Mempromosi Kesihatan (SMK).


Pada majlis berkenaan, Anugerah Sekolah Mempromosi Kesihatan HPS GLOW 2026 telah disampaikan kepada sekolah-sekolah terlibat yang telah menunjukkan komitmen dan pencapaian cemerlang dalam melaksanakan pelan tindakan berpandukan tonggak-tonggak (pillar) SMK yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Bagi Kategori Sekolah Rendah, Anugerah Emas diraih oleh Sekolah Rendah Panglima Barudin Limau Manis, Sekolah Rendah Tanjong Kindana dan Sekolah Rendah Perpindahan Bukit Beruang II, Tutong.


Manakala Anugerah Perak dimenangi oleh Sekolah Rendah Bendahara Lama, sementara Anugerah Gangsa diterima oleh Sekolah Rendah Dato Marsal dan Sekolah Rendah Panaga, Seria.


Bagi Kategori Sekolah Menengah pula, Anugerah Emas diberikan kepada Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong. Manakala Anugerah Perak diberikan kepada Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri; Sekolah Menengah Menglait, Sekolah Menengah Masin dan Maktab Anthony Abell, Seria.


Sementara Anugerah Gangsa diraih oleh Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong.


Turut disampaikan ialah beberapa Anugerah Khas SMK HPS GLOW 2026 (Special Men on Awards) bagi menghargai kepimpinan dan amalan terbaik di peringkat sekolah, termasuk Kategori Best HPS Leadership, Kategori Best HPS Focal Teacher, Kategori Best HPS Committee, Kategori Best Staff Wellness Activity, Kategori Best Parent Teacher Association (PTA) Engagement dan Kategori Best Sustainable HPS Activity. 


Penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan ke arah menjadikan setiap sekolah di NBD sebuah sekolah mempromosi kesihatan, sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam mencapai kualiti kehidupan yang tinggi, di samping memperkukuh sokongan negara terhadap pendekatan berasaskan bukti yang digariskan oleh WHO, United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization.  (UNESCO) dan United Nations Children's Fund (UNICEF).


Melihat ke hadapan, Kementerian Kesihatan menaruh harapan agar kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan akan terus diperkukuh, termasuk melalui pembangunan Brunei Health Promoting School Framework dan standard kebangsaan yang sejajar dengan standard global WHO, pengintegrasian kerangka berkenaan ke dalam keutamaan strategik kementerian-kementerian berkaitan, serta pelaksanaan program akreditasi kebangsaan secara berfasa untuk semua sekolah di NBD.


Visi yang digariskan adalah jelas, iaitu 'Every School in Brunei Should Be a Health Promoting School by 2035'.

Close