Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
KATOK, Khamis, 9 Julai. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas telah mengadakan Majlis Peringkat Akhir Pertandingan Membaca Ayat Suci Al-Quran bagi Pelajar Berkeperluan Khas Sekolah-Sekolah Menengah dan Rendah Kerajaan Tahun 2026 bertempat di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.
Pertandingan tahun 2026 ini merupakan satu penambahbaikan daripada format hafazan Al-Quran yang dilaksanakan sebelum ini dengan memperkenalkan pendekatan bacaan Al-Quran yang lebih inklusif.
Pendekatan ini membolehkan penyertaan yang lebih meluas dalam kalangan pelajar berkeperluan khas, di samping mengiktiraf kebolehan mereka dalam aspek bacaan, sebutan dan keyakinan diri.
Penganjuran pertandingan ini turut mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan dalam memastikan pelajar berkeperluan khas mendapat peluang yang saksama untuk mengembangkan potensi mereka selaras dengan prinsip Pendidikan Inklusif.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan pertandingan peringkat akhir.
Majlis kemudian diteruskan dengan tayangan video sekitar pertandingan separuh akhir, diikuti dengan ulasan dan pengumuman keputusan dan seterusnya penyampaian hadiah kepada para pemenang dan hadiah saguhati serta sijil penyertaan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Pada tahun ini, seramai 16 orang pelajar berkeperluan khas berjaya mara ke peringkat akhir selepas melalui saringan di peringkat sekolah dan separuh akhir.
Para finalis terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah kerajaan yang bertanding dalam dua kategori, iaitu Kategori Rendah (Tahun 4–6) dan Kategori Menengah (Tahun 7–11).
Awang Ahmad Thoriq Al-Hafiy bin Nafis daripada Sekolah Rendah Jerudong muncul sebagai johan Kategori Lelaki Peringkat Rendah, manakala Dayang Noor Nayla Naufalyn binti Muhammad Syarqawi daripada Sekolah Rendah Mabohai menjadi johan Kategori Perempuan Peringkat Rendah.
Sementara johan Kategori Lelaki Peringkat Menengah disandang oleh Awang Md. Iqbal bin Shahiman daripada Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, dan Dayang Nuurunnisaa binti Mohammad Isa daripada Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri muncul sebagai johan Kategori Perempuan Peringkat Menengah.
Para johan menerima trofi, hadiah berupa peralatan sekolah bernilai BND100 serta sijil penyertaan.
Tempat kedua masing-masing dimenangi oleh Awang Mohammad Qais Zulqarnain bin Mohammad Hadi Sumardi daripada Sekolah Rendah Awang Haji Mohamad Yusof Katimahar bagi Kategori Lelaki Peringkat Rendah; Dayang Ainul Mardhiah Masyitah binti Abdullah daripada Sekolah Rendah Kampong Mata-Mata Gadong bagi Kategori Perempuan Peringkat Rendah; Awang Muhammad Wadihan Azhar @ Daniyal bin Rosihan daripada Sekolah Menengah Sayyidina Husain bagi Kategori Lelaki Peringkat Menengah; dan Dayangku Nur Azima Aqilah binti Pengiran Metassan daripada Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri bagi Kategori Perempuan Peringkat Menengah.
Mereka masing-masing menerima trofi, hadiah berupa peralatan sekolah bernilai BND80 serta sijil penyertaan.
Manakala, tempat ketiga pula dimenangi oleh Awang Abdul Sabir Zarif bin Muhammad Yusri daripada Sekolah Rendah Kampong Mata-Mata Gadong bagi Kategori Lelaki Peringkat Rendah, dan Dayang Nur Alya Adriana binti Abdullah daripada Sekolah Rendah Lumapas bagi Kategori Perempuan Peringkat Rendah.
Diikuti dengan Awang Md. Haziq Safwan bin Abdullah daripada Sekolah Menengah Perdana Wazir bagi kategori Lelaki Peringkat Menengah, dan Dayang Nurul Syahfina Syahkilah binti Mohamad Shahrian Shah daripada Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Lumut bagi kategori Perempuan Peringkat Menengah.
Para pemenang tempat ketiga masing-masing menerima trofi, hadiah berupa peralatan sekolah bernilai BND60 serta sijil penyertaan.
Sementara itu, hadiah saguhati berupa peralatan sekolah bernilai BND40 berserta sijil penyertaan turut diberikan kepada para finalis lain dalam kedua-dua kategori.
Majlis juga diserikan dengan persembahan khas oleh pelajar-pelajar berkeperluan khas dari Sekolah Rendah Kapok.
Pertandingan tersebut bertujuan meningkatkan akses dan penyertaan pelajar berkeperluan khas dalam aktiviti berkaitan Al-Quran melalui pendekatan yang lebih inklusif.
Di samping itu, pertandingan juga bertujuan menilai kemahiran bacaan Al-Quran pelajar, menggalakkan perkembangan kemahiran asas tilawah secara berperingkat serta membina keyakinan diri pelajar untuk melibatkan diri secara aktif.
Selaras dengan prinsip Pendidikan Inklusif, pertandingan tersebut turut menyediakan platform yang memberi peluang secara saksama kepada pelajar berkeperluan khas untuk mendapat akses kepada aktiviti pembelajaran, meningkatkan penyertaan aktif serta menyerlahkan potensi masing-masing dalam bacaan Al-Quran.
Turut hadir di majlis tersebut ialah ketua-ketua jabatan, pemimpin-pemimpin sekolah, jemputan-jemputan khas, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, guru-guru pendidikan khas dan guru-guru peringkat rendah dan menengah.