Oleh : Aimi Sani / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Khamis, 9 Julai. - Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) petang tadi mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan Kali Ke-45, bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa Brunei, Berakas, di sini.
Pada kali ini, seramai 654 penerima Sijil Taraf Kerakyatan telah mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyampaikan Sijil-sijil Taraf Kerakyatan kepada para penerima ialah Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Terdahulu, Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Awang Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim dalam ucapannya berkata, ini merupakan hari gembira dan bermakna kepada 'abiskita' yang akan menerima sijil-sijil kerakyatan pada majlis petang ini.
Semoga dengan pengurniaan taraf kerakyatan 'abiskita' semua ini akan meningkatkan tekad dan azam dalam menanai tanggungjawab sebagai rakyat dalam mencurahkan jasa dan bakti kepada negara yang kita cintai ini.
Awang Haji Azmi dalam pada itu turut mengingatkan kepada para penerima untuk menjaga penganugerahan kerakyatan dengan sebaiknya yang mana ini adalah sesuatu yang amat tinggi nilainya bagi 'abiskita' semua dan setentunya juga 'abiskita' sangat mensyukuri dan sangat-sangat menghargainya.
Para penerima terdiri daripada mereka yang memohon taraf kerakyatan Negara Brunei Darussalam (NBD) di bawah Akta Taraf Kebangsaan Brunei, Penggal 15 iaitu di bawah Bab 5(1) dan 8(1) dan telah lulus dalam Ujian Bahasa Melayu secara bertulis dan secara lisan, di bawah Bab 6(1) iaitu terdiri daripada anak-anak kepada ibu warganegara NBD, anak-anak kepada ayah warganegara NBD dan anak-anak angkat kepada ibu bapa angkat warganegara NBD dan juga di bawah Bab 5(6) terdiri daripada isteri-isteri kepada suami warganegara NBD.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, KHEDN, ketua-ketua jabatan, penghulu-penghulu mukim, pegawai-pegawai kanan KHEDN serta pegawai-pegawai dan kakitangan JIPK.