Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 7 Julai. - Bersempena Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat dan Pemerkasaan Komuniti 2026 (IC-COPE 2026), satu Forum Persidangan Khidmat Masyarakat telah diadakan di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad.
Forum ini menampilkan barisan ahli panel yang terdiri daripada tokoh dan pengamal dalam bidang khidmat masyarakat, pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti.
Antara ahli panel yang terlibat ialah Penolong Pengarah Urusan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Awang Iswandy bin Ahmad; Pengarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk dan Kaunselor Pelawat, UNISSA, Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.
Manakala Penolong Pensyarah, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, UNISSA, Awang Muhammad Fuad bin Haji Matahir, selaku moderator. Melalui forum ini, perbincangan menyentuh tentang kepentingan khidmat masyarakat sebagai wadah membina ummah yang prihatin, berilmu dan bertanggungjawab.
Melalui perkongsian ilmiah dan pengalaman lapangan, para ahli panel mengupas bagaimana penglibatan aktif institusi pendidikan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat umum mampu memperkukuh kesejahteraan sosial, menyantuni golongan memerlukan serta menyumbang kepada pembangunan komuniti yang seimbang dan berdaya tahan.
Pendekatan khidmat masyarakat bukan sahaja dilihat sebagai amal kebajikan, malah sebagai usaha strategik dalam membentuk nilai ihsan, kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial ke arah melahirkan ummah lestari yang mampu menghadapi cabaran semasa.
Forum ini diharapkan dapat menjadi salah satu platform wacana ilmiah bagi membincangkan secara lebih mendalam kepentingan khidmat masyarakat dalam memperkasa komuniti, memperkasa peranan Institusi Pendidikan dalam agenda tanggungjawab sosial termasuk menggalakkan jaringan kerjasama antara institusi tempatan dan antarabangsa dalam projek kemasyarakatan.