Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BERAKAS, Selasa, 7 Julai. - Bahasa Melayu telah sekian lama dipelajari, iaitu sejak di alam persekolahan, maka seharusnya kita tidak perlu ragu dan kurang yakin untuk meletakkan kedudukan bahasa Melayu ini sebagai bahasa ilmu dan bahasa persuratan, meskipun menghadapi pelbagai cabaran global yang semakin berkembang.
Setiap orang di dunia ini semestinya tidak menolak akan kehadiran budaya elektronik atau budaya digital dalam menyebarluaskan ilmu, termasuk pemasaran strategik di arena antarabangsa.
Namun demikian, kepekaan dan kesedaran individu sebagai pengguna perlu ada dalam menyikapi kemajuan yang dibawa oleh era digital ini.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menekankan perkara itu semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Bahasa (65 Tahun Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka).
Ini kerana, jelas Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, sama ada kita menyedari atau tidak, berlakunya kerencaman bahasa Melayu, seperti munculnya pengaruh penggunaan bahasa rojak, bahasa tidak baku dan penggunaan tatabahasa yang tidak betul lebih dominan digunakan.
Lebih daripada itu tegasnya, bahasa yang kasar, tidak tepat dan tidak sopan juga boleh mencetuskan ketaksaan, salah pengertian dan konflik.
“Bahasa dan kata-kata membawa pengaruh yang mendalam. Bahasa yang digunakan bukan sahaja membentuk dan mendedahkan identiti dan pemikiran si penutur, malah pemilihan kata yang dibuat turut memberi impak psikologi serta emosi kepada yang mendengarnya," ujarnya.
Oleh itu jelas Yang Berhormat, adalah menjadi tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan bagi semua pihak untuk memupuk penggunaan bahasa Melayu yang betul dan beradab sedari awal lagi dengan menyaring, membezakan dan menyikapi bahasa Melayu itu sendiri dengan cara yang baik, meskipun media sosial atau platform digital merupakan medium peribadi atau hak individu, tetapi pengguna hendaklah bijak menggunakan medium ini sebagai wahana beretika bagi menyampaikan mesej dalam memastikan maruah bangsa terpelihara.
Selain itu terangnya, kelemahan individu tertentu dalam menyikapi atau kurang berusaha menguasai Bahasa Melayu Standard, termasuk kekeliruan dalam membezakan penggunaan bahasa Melayu harian dengan Bahasa Melayu Standard dalam rangka meningkatkan kemampuan menggunakan bahasa Melayu yang betul, sedikit sebanyak juga telah menjadikan kemahiran menulis atau bertutur secara formal semakin menurun.
“Walhal, inilah merupakan perkara penting dalam mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi," tegas Yang Berhormat lagi.
Justeru Yang Berhormat sekali lagi menekankan bahawa cara yang paling efektif terhadap keberkesanan penggunaan bahasa Melayu itu ialah, dari diri individu itu sendiri, iaitu menggunakan dan berusaha menimbulkan rasa hormat terhadap bahasa Melayu, dengan menjadikan bahasa ini sebagai bahasa ilmu, dinikmati dan dikembangluaskan sebagai satu bahasa yang menjadi perpaduan, disegani, malahan dipelajari.
Sebagai bahasa rasmi Negara Brunei Darussalam yang termaktub dalam perlembagaan terangnya, kita perlu meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan utama dalam kehidupan, sekali gus mendukung hasrat kerajaan untuk memartabatkan, memelihara, dan mendaulatkan bahasa Melayu agar ia terus kekal sebagai identiti dan jiwa bangsa serta teras kedaulatan negara.
Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat menggariskan Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang sangat terkenal dengan pendekatan penerapan dan penggunaan bahasa Melayu yang mana bahasa Melayu sudah awal didaulatkan dan menjadi sebagai bahasa rasmi negara, dan telah dimeterai dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959, iaitu sebelum Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan penuh pada 1 Januari 1984.
Istimewanya, pada tahun ini Sambutan Bulan Bahasa ditandai dengan mengambil sempena dan memperingati 65 tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ditubuhkan pada tahun 1961, DBP telah menggalas misi dan visi jabatan, selaras dengan kehendak negara dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu bagi memperkukuh perkembangan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu di Negara Brunei Darussalam.
Sambutan Bulan Bahasa yang pertama kalinya diadakan pada tahun 1962 sehingga kini jelas membuktikan bahawa peranan bahasa Melayu di negara ini tidak dipandang ringan, meskipun menghadapi pelbagai hambatan yang semakin mencabar kedudukan bahasa Melayu.