Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
TUNGKU LINK, Isnin, 6 Julai. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-Perkhidmatan, hari ini, mengadakan Majlis Penyampaian Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun bagi penerima tahun 2025 khusus kepada pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya bertempat di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh. Juga hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian P.K.L kepada 314 pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan termasuk tenaga pengajar di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi yang disempurnakan oleh tetamu kehormat sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat, diikuti dengan Doa Kesyukuran Sempena Kepulangan para Jemaah Haji Kementerian Pendidikan.
Pengurniaan P.K.L ini adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan dari Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas jasa dan sumbangan kerja yang telah diberikan sepanjang perkhidmatan para penerima pingat.
Pengurniaan pingat ini juga merupakan satu dorongan motivasi dan penyuntik semangat khususnya kepada warga Kementerian ini agar sentiasa memberikan kualiti kerja yang bermutu tinggi dan mencapai prestasi yang cemerlang secara berterusan.
Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, Naib-naib Canselor, Pemangku Rektor, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.