Berangkat merasmikan Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat, Pemerkasaan Komuniti 2026




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Na'il Haris Haji Muhd. Nikman





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) berkenan berangkat bagi menyempurnakan Perasmian Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat dan Pemerkasaan Komuniti, bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.


Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar selaku Timbalan Pengerusi I Jemaah Tadbir YSHHB; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Md. Yussof, selaku Ahli Jemaah Tadbir YSHHB; Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Haji Mohamad, selaku Timbalan Pengerusi Lembaga YSHHB; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd. Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB; Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB; dan Pemangku Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Persidangan.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Ketua Hakim Syar'ie, Mahkamah Syariah, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.


Dalam sembah alu-aluannya, Pemangku Rektor UNISSA antara lain menyembahkan bahawa persidangan berkenaan mengangkat tema 'Memperkasa Khidmat Masyarakat ke Arah Pembangunan Ummah Lestari' yang amat signifikan dan bertepatan dengan keperluan semasa dunia hari ini yang menuntut kepada pengukuhan semangat kebersamaan, sifat pemeduli dan tindakan kolektif dalam menangani cabaran masyarakat secara efektif.


"UNISSA sejak penubuhannya sentiasa komited menjadikan khidmat masyarakat sebagai salah satu teras utama akademiknya di bawah kerangka kokurikulum UNISSA, 'Framework for Integrating Knowledge, Readiness & Advancement' (FIKRA).


"Begitu juga dengan YSHHB yang sejak penubuhannya memainkan peranan yang amat signifikan dalam memperkasa pembangunan masyarakat melalui pelbagai program kebajikan, pendidikan, pembangunan belia, keusahawanan, pemerkasaan komuniti dan bantuan kemanusiaan," sembahnya lagi.


Justeru, Dr. Awang Haji Arman dalam sembah alu-aluan kemudiannya menjelaskan penganjuran persidangan ini merupakan manifestasi sinergi antara UNISSA dan YSHHB dalam memperkukuh budaya khidmat masyarakat, menghubungkan dunia akademik dengan keperluan masyarakat serta melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut intelektual, malah memiliki jiwa sukarelawan, semangat ihsan dan komitmen untuk menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.


Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan mengurniakan sabda dan berkenan menyempurnakan Perasmian Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat dan Pemerkasaan Komuniti 2026.


Majlis diteruskan dengan pembentangan kertas ucaptama yang disampaikan oleh Penolong Profesor, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman.


Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah dalam pembentangannnya menjelaskan pada masa ini, khidmat masyarakat bukan lagi setakat menghulurkan bantuan atau menyampaikan barang keperluan asas.


"Jika kita ingin membina komuniti yang benar-benar lestari, khidmat masyarakat perlu melalui satu anjakan paradigma.


"Kita perlu beralih daripada sekadar memberi bantuan kepada memperkasa kehidupan, daripada menjadi penyampai bantuan, kita perlu menjadi pemangkin perubahan.


"Kejayaan sebenar ialah melahirkan masyarakat yang berdikari, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada orang lain," terangnya lagi.


Apabila kita berbicara tentang pemerkasaan komuniti, beliau seterusnya mengingatkan bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah contoh terbaik yang pernah ditampilkan dalam sejarah manusia. 


Baginda membina para sahabat dengan penuh kesabaran dan hikmah, mengenal pasti potensi setiap individu lalu memperkasakan mereka dengan kekuatan iman, ilmu, akhlak dan kepimpinan sehingga lahir sebuah masyarakat yang berdikari, saling memperkasa dan mampu memimpin ke arah kesejahteraan ummah, ujarnya.


DYTM seterusnya berkenan menyaksikan pameran yang mempamerkan poster-poster yang relevan dengan aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat yang merupakan salah satu elemen penting dalam pembangunan ummah dan pembinaan peradaban insan yang seimbang dari sudut spiritual, intelektual dan sosial.


Pameran berkenaan disertai oleh beberapa agensi termasuk YSHHB; Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Bank Usahawan, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB); dan juga UNISSA.


UNISSA sebagai sebuah institusi pengajian tinggi berteraskan nilai-nilai Islam mempunyai tanggungjawab strategik untuk memimpin inisiatif khidmat masyarakat, kesukarelawanan, dakwah dan misi kemanusiaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.


Dalam konteks global hari ini, peranan universiti dan institusi pendidikan tinggi bukan sahaja tertumpu kepada pengajaran dan penyelidikan, malah turut memikul tanggungjawab sosial kepada masyarakat sejagat.


Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat dan Pemerkasaan Komuniti 2026 akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.


Seramai 57 orang pembentang terdiri daripada Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Republik Indonesia, Republik Arab Mesir dan Emiriah Arab Bersatu menyertai persidangan berkenaan yang akan membincangkan cabaran dan solusi terhadap isu-isu kemanusiaan dan sosial kontemporari. 


Persidangan berkenaan nanti dihasratkan dapat melahirkan resolusi yang bernas dan praktikal dalam memperkasakan budaya khidmat masyarakat serta semangat kebersamaan di peringkat nasional dan antarabangsa.


Selain pembentangan kertas-kertas dan forum, persidangan juga mengandungi pengisian pengalaman khidmat masyarakat di beberapa lokasi strategik di negara ini.


Persidangan Antarabangsa Khidmat Masyarakat dan Pemerkasaan Komuniti 2026 ini diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2026 (Brunei MYCE 2026).


Dengan adanya persidangan ini diharapkan akan menjadi medan perkongsian amalan terbaik (best practices) dalam bidang kesukarelawanan, kemanusiaan, pembangunan komuniti, dakwah dan kesejahteraan sosial di peringkat serantau dan antarabangsa.

Close