Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman, Pg. Mohd Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
JERUDONG, Isnin, 6 Julai. – Sejurus selesai menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei dan Muara di Dewan Persidangan BRIDEX, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat melawat ke beberapa tempat di kawasan Jerudong.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berkenan berangkat melawat ke Sekolah Rendah Jerudong, Kluster 4, di Kampung Jerudong.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di sekolah berkenaan dijunjung oleh Guru Besar Sekolah, Dayang Khadijah binti Haji Gapar.
Sekolah Rendah Jerudong ditubuhkan pada tahun 1955 dan pada tahun 1957, bangunan kekal bagi Sekolah Rendah Jerudong telah dibina. Guru Besar pertama ialah Awang Abdul Rahman bin Jaafar dengan keramaian 25 orang murid.
Dengan visinya 'Pendidikan berkualiti, Negara Dinamik' dan misinya 'Menyediakan Hala Tuju dan Sistem Sokongan Melalui Pengajaran dan Pembelajaran Yang Efektif Pada Semua Pelajar Ke Arah Mencapai Pendidikan Yang Berkualiti dan Berprestasi Tinggi', Sekolah Rendah Jerudong pada masa ini mempunyai keramaian murid sebanyak 407 orang dengan 50 orang tenaga pengajar serta 11 orang kakitangan.
Semasa lawatan di Sekolah Rendah Jerudong, Kebawah DYMM berkenan melawat ke Bilik Perpustakaan dan Bilik Ar Rahmah 2, meninjau pembelajaran para murid di Bilik Sumber Bahasa Inggeris, Bilik Sains 2, Pra 'A' dan Bilik Matematik 1.
Baginda seterusnya dijunjung menyaksikan aktiviti permainan gasing daripada murid Tahun 2 hingga Tahun 6 sekolah tersebut. Permainan gasing tradisi mula diperkenalkan pada 19 Februari 2025. Bermula dengan hanya dua orang murid, dan kini berkembang kepada 30 murid yang mahir dan berkebolehan pada tahun 2026.
Aktiviti ini dijalankan semasa waktu Pendidikan Jasmani dan waktu Kokurikulum (CCA) sekolah. Selain di sekolah, para pelajar juga berlatih dan bermain bersama rakan pada waktu petang di gelanggang gasing Pantai Siandang sekitar jam 5.00 hingga 6.00 petang, manakala pada hujung minggu, aktiviti dijalankan bermula dari 8.00 hingga 11.00 pagi dan 3.00 hingga 6.00 petang
Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM meneruskan lawatan ke Sekolah Ugama Jerudong Kawasan Brunei III sesi pagi dan dijunjung oleh Guru Besar Sekolah Ugama Jerudong, Awang Haji Muhamad Said bin Haji Mustapa.
Sekolah Ugama Jerudong menyediakan dua sesi pembelajaran iaitu pada sebelah pagi dengan jumlah keramaian 47 pelajar, tujuh tenaga pengajar dan seorang kakitangan. Sementara itu pada sebelah petang, sekolah tersebut menempatkan 250 pelajar, 16 tenaga pengajar dan dua kakitangan sekolah.
Dengan moto 'Pelajar Cemerlang Negara Gemilang Berteraskan Keimanan', Sekolah Ugama Jerudong sesi pagi telah mencapai keputusan 100 peratus lulus dengan memperolehi pangkat 1 sebanyak 90 peratus pada tahun 2025 dan pada sesi petang, sekolah tersebut juga mencapai keputusan 81 peratus lulus dengan memperolehi pangkat 1 sebanyak 65 peratus.
Semasa lawatan ke sekolah tersebut, Kebawah DYMM berkenan melawat ke Bilik Bantuan Pembelajaran dan Bilik Pendidikan Khas Ugama dan seterusnya berkenan bergambar ramai.
Baginda seterusnya dijunjung berangkat melawat EVYD Technology Sendiran Berhad di Kampung Jerudong. Syarikat berkenaan menggunakan inovasi teknologi khususnya Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan mutu dan sistem penjagaan kesihatan.
Keberangkatan baginda dijunjung oleh Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Semasa lawatan berkenaan, baginda berkenan melawat EVYD Gallery, Surveillance Centre, North Office Level 1, South Office Level 1, serta menyaksikan lukisan cucunda Kebawah DYMM, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan seterusnya berkenan bergambar ramai.
Syarikat tersebut mula beroperasi pada 27 April 2020 dan mempunyai seramai 65 orang tenaga kerja yang mana 53 orang daripadanya adalah anak tempatan.
Selepas lawatan dari syarikat berkenaan, Kebawah DYMM seterusnya berkenan berangkat melawat ke rumah para penerima anak-anak kunci rumah teres di bawah Perumahan Negara Kampung Lugu masing-masing milik Awang Roshirmy bin Haji Abu Bakar di Lot 82833, No. 16, Simpang 134, Jalan Ambin Perumahan Negara Kampung Lugu dan juga Dayang Siti Salmiah binti Haji Awang Bini @ Sharbini, di Lot 82818, No. 13, Simpang 134, Jalan Ambin Perumahan Negara Kampung Lugu.
Dari rumah para penerima anak-anak kunci rumah teres tersebut, Kebawah DYMM kemudiannya mengakhiri lawatan dengan berangkat melawat ke rumah Ketua Kampung Lugu dan Kampung Katimahar, Mukim Sengkurong, Awang Abdul Hadi bin Haji Abdul Sani.
Baginda berkenan menandatangani lembaran keberangkatan dan menerima pesambah serta dijunjung bergambar ramai dan juga beramah mesra.