Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
JERUDONG, Isnin, 6 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Penyempurnaan Penganugerahan Anak-anak Kunci Rumah di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei dan Muara (DBM) kepada seramai 300 penerima, hari ini.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong dijunjung oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid serta Pemangku Pegawai DBM, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, DBM, Pengiran Haji Shahril Azman bin Pengiran Haji Metusin.
Majlis kemudian diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Pemangku Pegawai DBM antara lain menyembahkan, merafak sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang bercemar duli bagi menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah di bawah Skim Perumahan Negara bagi DBM.
Penganugerahan tersebut sembahnya, sudah setentunya memberikan sinaran cahaya kehidupan dan tempat berteduh yang lebih selesa kepada para penerima.
Beliau turut menyembahkan, selaku rakyat dan penduduk yang bernaung dan berlindung di bawah payung pemerintahan bijaksana baginda akan terus menerus mendukung kepimpinan dan kedaulatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta menanamkan dan membaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah DYMM sebagai raja yang disayangi dan disanjungi.
“Abis hamba-hamba Kebawah Duli Tuan Patik seterusnya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, semoga Kebawah Duli Tuan Patik sentiasa mendapat taufik serta kurnia limpahan rahmat dan sentiasa berada dalam keredaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan kekal karar memerintah di atas takhta singgahsana Kerajaan Negara Brunei Darussalam," sembahnya.
Sejurus itu, Kebawah DYMM berkenan menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah di bawah Skim Perumahan Negara bagi DBM kepada 300 penerima di mana kesemuanya telah diperuntukkan rumah jenis teres di Perumahan Negara Kampung Lugu. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, DBM.
Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan berkenaan, Kebawah DYMM berkenan berangkat melawat beberapa institusi pendidikan dan teknologi. Baginda mula-mula berangkat ke Sekolah Rendah Jerudong, Kluster 4. Dari sekolah berkenaan, baginda seterusnya berkenan melawat ke Sekolah Ugama Jerudong dan seterusnya baginda juga berkenan berangkat melawat EVYD Technology Sendirian Berhad di Kampung Jerudong.
Selepas lawatan dari syarikat berkenaan, Kebawah DYMM kemudian berkenan berangkat melawat ke rumah penerima-penerima anak-anak kunci rumah teres di bawah Perumahan Negara Kampung Lugu iaitu Awang Roshirmy bin Haji Abu Bakar dan Dayang Siti Salmiah binti Awang Haji Bini@Sharbini.
Dari rumah para penerima anak-anak kunci rumah teres tersebut, baginda kemudiannya dijunjung berangkat melawat ke rumah Ketua Kampung Lugu dan Kampung Katimahar, Awang Abdul Hadi bin Haji Abdul Sani. Bagi mengakhiri majlis keberangkatan, Kebawah DYMM berkenan dijunjung berangkat ke Dewan Royal Berkshire, Tarindak d'Polo, Jerudong bagi Majlis Santap Tengah Hari.
Rakyat Negara Brunei Darussalam adalah amat bertuah dengan kepimpinan bijaksana Kebawah DYMM yang terus menerus memberikan keprihatinan dan pemedulian terhadap kesejahteraan dan kualiti kehidupan rakyat di negara ini. Ia jelas terbukti dengan adanya penyediaan perumahan yang selesa, mampu milik dan mampan khususnya melalui Skim Perumahan Negara.
Kerajaan Kebawah DYMM menerusi Jabatan Kemajuan Perumahan terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif dan daya usaha dalam memastikan rakyat mempunyai tempat kediaman sejajar dengan hasrat Matlamat Kedua Wawasan Brunei 2035 iaitu 'Ke Arah Kualiti Kehidupan Yang Tinggi'.