Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
GADONG, Rabu, 1 Julai. - Kejayaan Digital Brunei 2030 bergantung pada sejauh mana kerajaan dan sektor swasta dapat bekerjasama dengan berkesan. Kita tidak boleh bertindak sebagai pihak yang berasingan dan bergerak seiring tanpa kerjasama, sebaliknya perlu menjadi rakan strategik yang sebenar dengan tanggungjawab bersama terhadap pencapaian hasil.
Kerajaan boleh menetapkan hala tuju, membangunkan infrastruktur dan mewujudkan persekitaran yang kondusif. Namun, penerimaan, inovasi dan penyampaian perkhidmatan digital hingga ke peringkat akhir (last mile) berlaku melalui sektor perniagaan, bukan semata-mata dari pusat pentadbiran.
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos berucap sedemikian pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Digital Brunei 2026 bertempat di salah sebuah hotel di Gadong, hari ini.
Yang Berhormat seterusnya berkata, sektor industri mesti menjadi pemacu utama transformasi ini. Oleh yang demikian, beliau menyeru semua perniagaan agar memacu inovasi melalui penerapan teknologi baharu dan pembangunan penyelesaian yang lancar serta berpusatkan rakyat.
Selain turut menggalakkan penggunaan pembayaran digital dan perkhidmatan tanpa tunai yang diyakini, selamat dan mudah digunakan. Melabur dalam pembangunan kemahiran seperti literasi Kecerdasan Buatan (AI), pengekodan, analisis data dan keselamatan siber bagi memperkasa tenaga kerja Negara Brunei Darussalam (NBD).
Di samping itu tambah Yang Berhormat, turut menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan menyediakan alat, khidmat nasihat serta akses kepada platform e-dagang serta bekerjasama dengan kerajaan untuk mempermudah proses, mengintegrasikan sistem dan bersama-sama membangunkan perkhidmatan yang selamat, mudah diakses serta memenuhi keperluan pengguna dan juga membina kepercayaan melalui pengukuhan keselamatan siber dan perlindungan data yang lebih jelas serta sokongan yang responsif.
Yang Berhormat melahirkan harapan agar forum ini bukanlah yang terakhir seumpamanya. Kerjasama antara kerajaan dan industri perlu dilaksanakan secara berterusan, bukan sekadar perbincangan sekali sahaja.
“Kami memerlukan pihak industri untuk mengemukakan penyelesaian kepada cabaran sebenar yang dihadapi, manakala kerajaan pula perlu bersikap responsif serta bersedia melakukan penyesuaian apabila cadangan tersebut dikemukakan.
“Forum ini merupakan platform yang tepat untuk mewujudkan penglibatan berterusan sedemikian dan saya berharap hubungan kerjasama ini akan terus diperkukuh melalui usaha-usaha susulan yang akan dilaksanakan selepas hari ini," ujar Yang Berhormat.
Kongsi Yang Berhormat, transformasi digital merangkumi tiga keutamaan iaitu pelaksanaan secara praktikal, kebolehsuaian dan kesedaran terhadap tanggungjawab. Tiada satu institusi pun mampu merealisasikan transformasi negara ini secara bersendirian justeru kerajaan akan mewujudkan persekitaran yang kondusif ujar Yang Berhormat.
Sektor industri perlu memacu inovasi, terang Yang Berhormat, institusi akademik perlu mencetuskan inspirasi manakala masyarakat pula perlu menerima dan mengamalkan transformasi digital.
“Bersama-sama, kita mampu membawa NBD daripada sekadar sebuah negara yang saling berhubung kepada sebuah negara yang benar-benar bersepadu dan lancar dari segi penyampaian perkhidmatan digital," jelas Yang Berhormat lagi.