Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 Julai. - Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) hari ini mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah yang Ke-43 Tahun.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks YSHHB, di ibu negara, di sini.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Ahli Jemaah Tadbir YSHHB dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof selaku Ahli Jemaah Tadbir YSHHB.
Juga menjunjung keberangkatan tiba, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB dan Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Sejurus keberangkatan, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin, diikuti bacaan Doa Kesyukuran sempena Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Awang Murat.
Doa Kesyukuran antara lain menyembahkan seluruh warga YSHHB merafakkan rasa syukur di atas nikmat Allah Subhanahu Wata'ala yang telah mengurniakan kebajikan kepada DYTM, Menteri di JPM dan Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB.
“Allahumma Ya Allah, sesungguhnya kami benar-benar memohon supaya tuhan kami mengurniakan nikmat yang sempurna lagi menyeluruh kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah dan ahli kerabat DYTM khasnya nikmat Islam dan nikmat Iman, nikmat taufik hidayah, nikmat sihat afiat, nikmat lanjut usia, nikmat kekuatan, nikmat hati terang dan fikiran tenang, nikmat perlindungan dan pemeliharaan daripada dosa-dosa," bacaan doa Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa.
Pada majlis tersebut, DYTM berkenan memotong Kek Ulang Tahun Hari Puja Usia serta menerima pesambah daripada YSHHB berupa sebuah rehal eksklusif yang direka khas dengan gabungan motif seni Islamik, dihiasi dengan Logo YSHHB serta nama 'Abdul Malik dalam Seni Khat Thuluth yang dihasilkan oleh Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam YSHHB.
Pesambah tersebut turut dilengkapi dengan sebuah Mushaf Al-Quran berserta terjemahan, Buku Yaa Siin dan penunjuk Al-Quran, sebagai lambang penghormatan terhadap Al-Quran serta penghargaan terhadap warisan seni dan kraf Islam.
Majlis seterusnya menyaksikan DYTM berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan YSHHB yang berjumlah keseluruhan BND74,000.
Sumbangan pertama disampaikan kepada Tabung Amal Bantuan Pesakit (TABP), Kementerian Kesihatan, yang diterima oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Perancangan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff.
Sumbangan tersebut adalah berupa geran tahunan bermula tahun 2026 berjumlah BND50,000 yang bertujuan menyokong usaha TABP dalam membantu pesakit daripada golongan yang memerlukan untuk mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan dan bantuan kebajikan berkaitan, termasuk penyediaan peralatan perubatan, bahan guna habis perubatan, susu formula khas serta keperluan asas yang lain mengikut penilaian kes.
Bantuan itu turut melengkapi Skim Bantuan Perubatan YSHHB sebagai saluran tambahan bagi membantu pesakit daripada golongan yang memerlukan, sekali gus memperkukuh usaha bersama dalam memastikan golongan yang memerlukan terus menerima bantuan kesihatan dan kebajikan yang sewajarnya.
Seterusnya, sumbangan YSHHB berjumlah BND24,000 dihulurkan kepada An-Nur Harapan, yang diterima oleh Pengurus Am, An-Nur Harapan, Dayang Melline binti Haji Jaini.
An-Nur Harapan merupakan sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan pendidikan, intervensi dan pembangunan kemahiran kepada kanak-kanak serta individu berkeperluan khas bagi membantu perkembangan pembelajaran, potensi diri dan kesejahteraan mereka.
Sumbangan tersebut adalah bagi menyokong pelaksanaan Program UNIKLEARN, yang diperkenalkan pada tahun 2018 bagi menyediakan program pembelajaran, pembangunan kendiri serta latihan kemahiran kepada golongan belia neurodivergen di negara ini sebagai persediaan ke arah peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih berdikari.
Inisiatif ini sejajar dengan komitmen YSHHB dalam memperkasakan pembangunan modal insan secara inklusif melalui sokongan kepada organisasi yang menyediakan perkhidmatan pendidikan dan kebajikan kepada golongan berkeperluan khas.
DYTM diputerakan pada 19 Ramadan 1403 Hijrah bersamaan 30 Jun 1983 Masihi dan dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB pada 1 Mac 2013. Sejak menerajui YSHHB, DYTM sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap kemajuan institusi berkenaan dengan kerap mempengerusikan mesyuarat, meninjau serta mengikuti perkembangan pelbagai projek dan program yang dilaksanakan demi manfaat masyarakat.
Hadir sama pada majlis ini ialah Ahli-ahli Jemaah Tadbir YSHHB dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah YSHHB; Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; para jemputan khas, pegawai-pegawai dan kakitangan YSHHB serta guru-guru Sekolah YSHHB.
.jpg)
.jpg)
.jpg)