Wadah zahirkan peranan, dukung aspirasi Negara Zikir




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 30 Jun. - Pendidikan tahfiz bukanlah sekadar usaha menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran. Ia adalah pendidikan jiwa, pendidikan akhlak, pendidikan disiplin, pendidikan adab dan pendidikan keinsanan.


Maka seorang hafiz atau hafizah bukan sahaja diharapkan menghafaz Al-Quran tetapi memelihara adab terhadap Al-Quran sebagai pedoman hidup seterusnya mengembangkan manfaatnya kepada umat.


Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan berucap demikian semasa Majlis Simposium Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam (NBD) Kali Kedua 2026 Masihi bertempat di Dewan Auditorium Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), di sini.


Menurut Yang Berhormat, sebagai sebuah institusi yang kini menawarkan pengajian peringkat Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat yang setaraf dengan Higher National Diploma, Institusi Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah mempunyai tanggungjawab ilmiah dan institusi yang semakin besar.


“Institut bukan sahaja berperanan melahirkan para huffaz, bahkan perlu terus mengembangkan penyelidikan, memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran serta menyumbang kepada pembangunan dasar dan amalan terbaik pendidikan tahfiz di negara ini.


“Dalam konteks inilah simposium seperti ini menjadi amat penting. Ia bukan sekadar majlis ilmu, bahkan satu wadah untuk menzahirkan peranan dan sumbangan institut dalam mendukung aspirasi negara sebagai sebuah Negara Zikir yang berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja," jelas Yang Berhormat.


Dalam masa yang sama, tambah Yang Berhormat, pendidikan tahfiz Al-Quran juga hendaklah dilihat dalam kerangka besar pembangunan negara, khususnya ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Maka pendidikan tahfiz bukanlah berada di luar arus pembangunan negara, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada pembangunan modal insan negara.


Jelas Yang Berhormat lagi, para huffaz yang dilahirkan hendaklah bukan sahaja kukuh hafazannya dan baik bacaannya, tetapi juga berilmu, berkemahiran, berakhlak, berdaya fikir, mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dan bersedia menyumbang kepada masyarakat serta negara.


Yang Berhormat seterusnya menjelaskan tema simposium iaitu 'Inovasi Di Era Teknologi' ini adalah amat sesuai dengan perkembangan semasa. Dunia pendidikan hari ini terang Yang Berhormat, bergerak pantas dengan penggunaan teknologi digital, aplikasi pembelajaran, data analitik dan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI).


Ujar Yang Berhormat lagi, dalam pendidikan tahfiz, teknologi boleh membantu banyak perkara seperti pemantauan hafazan, memperkukuh 'muraja'ah', menyediakan bahan pembelajaran interaktif, memudahkan akses kepada rujukan serta membantu guru dan pelajar menilai perkembangan pembelajaran dengan lebih teratur.


“Namun demikian, teknologi hendaklah diletakkan pada tempatnya. Teknologi adalah alat bantu, bukan pengganti kepada guru. Aplikasi boleh membantu 'muraja'ah' tetapi tidak boleh menggantikan 'talaqqi', 'musyafahah' dan 'tasmi'. Kecerdasan Buatan boleh membantu analisis dan penyusunan pembelajaran, tetapi tidak boleh menggantikan keberkatan bimbingan guru, adab menuntut ilmu dan hubungan rohani antara murid dengan Al-Quran.


“Maka sebarang inovasi dalam pendidikan tahfiz hendaklah sentiasa dipandu oleh syarak, ketelitian ilmu dan adab terhadap Kalamullah. Kita tidak menolak teknologi. Bahkan kita perlu mengambil manfaat daripadanya. Tetapi kita juga tidak boleh membiarkan teknologi menentukan arah pendidikan tahfiz tanpa kawalan nilai, tanpa disiplin ilmu dan tanpa bimbingan guru," jelas Yang Berhormat.


Di sinilah letaknya keistimewaan pendidikan tahfiz di NBD. Kita mahu melahirkan huffaz yang bukan sahaja celik teknologi dan berkemahiran abad ke-21 tetapi juga kuat hafazannya, baik bacaannya, beradab, berakhlak dan berpandukan Al-Quran ujar Yang Berhormat.


Maka Yang Berhormat berharap simposium ini dapat memberi perhatian kepada beberapa perkara utama iaitu pertama, kualiti hafazan dan 'muraja'ah'. Kejayaan pendidikan tahfiz tidak hanya diukur dengan jumlah juzuk yang berjaya dihafaz, tetapi juga sejauh mana hafazan itu kekal, lancar, tepat bacaannya dan diamalkan dalam kehidupan.


Kedua tambah Yang Berhormat, kompetensi guru tahfiz. Guru tahfiz bukan sahaja perlu mempunyai hafazan dan bacaan yang mantap, tetapi juga perlu dibekalkan dengan kemahiran pedagogi, kemahiran membimbing pelajar, serta keupayaan menggunakan teknologi secara bijaksana.


“Ketiga, penggunaan teknologi dan Kecerdasan buatan. Perlu dibincangkan apakah bentuk teknologi yang benar-benar sesuai untuk pendidikan tahfiz, apakah batas penggunaannya, bagaimana menjaga ketepatan bacaan, keselamatan data, kesahihan kandungan dan sebagainya.


“Keempat, pendidikan tahfiz bagi Golongan Berkeperluan Khas. Saya mengambil maklum bahawa usaha pendidikan Al-Quran bagi golongan berkeperluan khas, termasuk melalui penggunaan Al-Quran Braille, telah dan sedang dilaksanakan. Perkara ini perlu terus diperkukuh. Jangan ada golongan yang tercicir daripada peluang mendampingi Al-Quran mengikut kemampuan masing-masing," kongsi Yang Berhormat lagi.


Kelima, hala tuju graduan tahfiz. Para huffaz perlu diberikan laluan pendidikan dan pembangunan diri yang jelas. Mereka inilah yang akan mencorakkan negara dengan menjadi pendidik, penyelidik, imam, pendakwah, pentadbir, para profesional, pemimpin dan sebagainya. Hafazan Al-Quran hendaklah menjadi kekuatan yang memperkayakan sumbangan mereka kepada agama, bangsa dan negara, terang Yang Berhormat.


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama percaya, simposium ini akan menjadi wadah yang amat berharga kepada para pakar, penyelidik, tenaga pengajar, pelajar dan semua pihak berkepentingan untuk berkumpul, bertukar pandangan dan memperluaskan jaringan kerjasama serta tidak hanya menjadi dokumen ilmiah, tetapi dapat membantu institut, Lembaga dan KHEU dalam merancang pembangunan pendidikan tahfiz yang lebih tersusun, berimpak dan relevan dengan keperluan negara.


Close